Mula-mula disangka demam, kanak-kanak perlu RM80,000 rawat leukemia - Utusan Malaysia

Mula-mula disangka demam, kanak-kanak perlu RM80,000 rawat leukemia

MUHAMMAD Fikri Mohd. Fairuz yang disahkan menghidap leukemia limfoblastik akut pada usia 11 tahun memerlukan dana sebanyak RM80,000 untuk menjalani pemindahan sumsum tulang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Kira-kira tiga tahun lalu, Muhammad Fikri Mohd. Fairuz, 11, pernah disangka menghidap denggi gara-gara me­ngalami demam panas yang teruk.

Bagaimanapun malang me­nimpa kanak-kanak itu apabila dia disahkan menghidap leukemia limfoblastik akut iaitu kandungan sel darah putih yang tinggi selepas menjalani ujian darah.

Ibu kanak-kanak itu, Fazliyana Mohd. Nidzar, 45, berkata, selepas dua tahun menjalani rawatan kemoterapi, proses tersebut akhirnya tamat Mac lepas apabila anaknya dilaporkan sembuh.

Katanya, ujian yang dianggap berlalu itu bagaimanapun ‘muncul’ semula apabila Muhammad Fikri secara tiba-tiba mengalami demam panas ketika sambutan Aidiladha lalu.

Menurut Fazliyana, dia juga mengesan darah dalam air ken­cing anak bongsu daripada lima beradik itu dan setelah dibawa untuk pemeriksaan di hospital, doktor mendapati terdapat sel-sel kanser dan batu karang dalam pundi kencing Muhammad Fikri.

Tambahnya, ketika harapan untuk melihat Muhammad Fikri sembuh semakin tipis, muncul ‘sinar’ baharu dalam hidup mereka apabila abang kepada kanak-kanak itu iaitu Muhammad Faizan, 16, didapati layak dan sesuai menjadi penderma sumsum tulang untuk adiknya.

“Doktor mencadangkan untuk kami melakukan pemindahan sumsum tulang itu secepat mungkin iaitu seawal bulan depan.

“Bagaimanapun, kami sekeluarga tidak mampu menanggung kos perubatan yang tinggi iaitu sehingga RM80,236 selain perlu menampung kos ubat-ubatan susulan,” katanya di sini baru-baru ini.

Jelas Fazliyana yang pernah bekerja sebagai kerani sebelum ini, suaminya, Mohd. Fairuz Johari, 45, kini tidak lagi mampu mencari nafkah selepas mengalami kecederaan otak akibat kemalangan kereta lima tahun lalu.

Kata wanita itu, suaminya juga tidak boleh bercakap dan berjalan akibat kemalangan berkenaan serta terpaksa berkerusi roda selain sukar menelan makanan sehingga memerlukan perhatian khusus setiap kali menjamah makanan bagi mengelakkan dia tersedak.

Orang ramai yang ingin meng­hulurkan derma boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank atas nama One Hope Cha­rity di nombor 3201428817 atau melayari laman sesawang onehopecharity.org atau hubungi talian 04-5399212, 016-4192192 dan 018-9114192 untuk keterangan lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya