Muhyiddin: Permohonan bicara bersama 19 September

Muhyiddin: Permohonan bicara bersama 19 September

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 19 September ini bagi mendengar permohonan pihak pendakwaan agar kesemua tujuh pertuduhan yang dihadapi oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin melibatkan kes menggunakan kedudukan dan pengubahan wang haram, dibicarakan secara bersama.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta dan tiga pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram.

Hakim Azura Alwi turut menetapkan kedua-dua pihak memfailkan penghujahan bertulis pada 8 September ini dan pihak-pihak membalasnya pada 15 September.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memaklumkan, kedua-dua pihak selesai memfailkan pliding masing-masing termasuk afidavit balasan dan memohon tarikh pendengaran permohonan ditetapkan.

Beliau turut memaklumkan, pihak pendakwaan sudah menyerahkan baki dokumen untuk perbicaraan kepada pihak pembelaan hari ini.

Menurut Ahmad Akram, berdasarkan undang-undang dokumen itu sepatutnya diserahkan kepada Muhyiddin.

“Oleh kerana tertuduh tidak hadir (pengecualian kehadiran), dokumen diserahkan kepada peguamnya,” ujar beliau.

Sementara itu, salah seorang peguam dalam pasukan pembelaan, Datuk Hisyam Teh Poh Teik memohon agar Muhyiddin dikecualikan daripada hadir pada pendengaran permohonan itu.

Azura bagaimanapun berpendapat kehadiran Muhyiddin diperlukan selepas berpuas hati permohonan itu melibatkan kepentingan beliau.

Pada 10 Mac lalu, Muhyiddin, 75, yang juga bekas Perdana Menteri didakwa di ibu negara atas enam pertuduhan iaitu empat tuduhan menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.

Bagi pertuduhan pertama, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan iaitu wang berjumlah RM200 juta dari Bukhary Equity Sdn Bhd bagi milik Bersatu.

Beliau turut didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan wang berjumlah RM1 juta daripada syarikat Nepturis Sdn. Bhd. juga bagi milik parti itu.

Bagi pertuduhan ketiga, beliau juga didakwa menggunakan kedudukannya untuk satu suapan, iaitu wang berjumlah RM19.5 juta daripada syarikat Mamfor. Sdn. Bhd. bagi milik partinya.

Pertuduhan keempat pula, tertuduh didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan, iaitu wang berjumlah RM12 juta bagi milik partinya daripada Datuk Azman Yusoff.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Blok Utama, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Muhyiddin juga didakwa sebagai Presiden Bersatu menerima RM120 juta dan RM75 juta daripada sebuah syarikat yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik parti itu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral, di sini, antara 25 Februari 2021 dan 8 Julai 2022.

Pada 13 Mac pula, Muhyiddin didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas satu pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta di AmBank cawangan Amcorp Mall, Petaling Jaya dekat sini, pada 7 Januari 2022.

Ahli Parlimen Pagoh itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) Akta yang sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana yang lebih tinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya