KUALA LUMPUR: Muhammad Qayyim Nizar Sarimi, 25, berazam untuk terus belajar walaupun sudah dinobatkan sebagai johan tilawah al-Quran peringkat antarabangsa malam ini.
Qari berstatus orang kurang upaya (OKU) penglihatan itu berpendapat, ilmu taranum amat banyak.
“(Oleh itu) tidak semestinya kita johan antarabangsa, kita rasa pandai.
“Jadi saya akan terus belajar dengan guru saya dan akan terus ajar pulak kepada orang lain,” kongsinya kepada pemberita.
Terdahulu, Muhammad Qayyim muncul juara kategori tilawah lelaki bersempena Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-63 1445H/2023 M di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) malam ini.
Qari berasal dari Kelantan itu menewaskan pencabar lain selepas memperoleh markah sebanyak 94.96 peratus.
Berkongsi perasaannya, Muhammad Qayyum berkata, beliau bersyukur kepada Allah atas kejayaan yang diterima itu.
“Saya tidak tahu macam mana nak ucapkan, tidak boleh diucapkan dengan kata-kata, gembira ada, sebak pun ada,” katanya.
Beliau pada masa sama turut menyifatkan pengorbanannya selama 16 tahun sejak mula mendalami ilmu taranum di Tahun 9 sebagai berbaloi.
“(Untuk) latihan, kalau formal dengan guru saya seminggu sekali setiap hari Jumaat malam. Namun saya juga ada buat latihan suara atau kita panggil latihan bermain dengan suara,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Qayyim menitipkan pesan kepada golongan OKU penglihatan supaya belajar al-Quran.
“Dengan al-Quran ini cerah masa depan kita,” katanya. – UTUSAN