Muda segerakan pemilihan parti selepas kalah PRN

Muda segerakan pemilihan parti selepas kalah PRN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Demokratik Ikatan Malaysia (Muda) membuat keputusan untuk menyegerakan pemilihan parti itu susulan kekalahan di semua kerusi dalam enam pilihan raya negeri (PRN), minggu lalu.

Parti itu dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat, semalam yang dihadiri oleh pimpinan nasional dan negeri.

“Muda telah menetapkan untuk agenda pemilihan parti disegerakan lebih awal dari tempoh ditetapkan.

“Ini bertujuan memberi nafas dan muka baharu parti dalam usaha membina Muda dengan lebih baik,” katanya.

Selain itu, Muda akan mengadakan agenda ‘bedah siasat’ PRN pada 26 Ogos ini yang disertai oleh semua pimpinan nasional, negeri dan calon-calon parti itu.

Parti itu juga telah mengosongkan jawatan Ketua Penerangan yang sebelum ini disandang oleh Luqman Long selepas berjanji melepaskan jawatan itu jika kalah dalam PRN, dengan pemangku dimaklumkan dalam masa terdekat.

“Muda percaya bahawa ketetapan-ketetapan ini dibuat bagi menjaga kepentingan sebagai sebuah parti politik yang mengangkat idea politik baharu untuk negara Malaysia.

“Ucapan penghargaan kepada semua pengundi yang telah melaksanakan tanggungjawab serta jentera dan ahli parti yang telah bertungkus-lumus menjayakan PRN,” katanya.

Muda kalah di semua kerusi yang ditandingi di enam PRN pada Sabtu lalu, dengan kesemua 19 calonnya kehilangan deposit di Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN