Mualaf tidak dibenar cabar keputusan Mahkamah Syariah tolak permohonan keluar Islam - Utusan Malaysia

Mualaf tidak dibenar cabar keputusan Mahkamah Syariah tolak permohonan keluar Islam

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang mualaf wanita tidak dibenar oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang untuk mencabar keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang menolak permohonannya untuk kembali menganut agama Kristian.

Hakim Quay Chew Soon menolak permohonan wanita berusia 57 tahun itu selepas berpuas hati mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar pertikaian berhubung penukaran agama Islam.

Mahkamah berpuas hati bahawa isu yang dibangkitkan dalam semakan kehakiman, tertakluk kepada bidang kuasa eksklusif mahkamah syariah.

Mahkamah berpuas hati Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan tidak membenarkan mahkamah sivil campur tangan dalam keputusan mahkamah syariah ketika melaksanakannya bidang kuasa eksklusifnya.

Wanita itu yang dilahirkan sebagai penganut Kristian, memeluk Islam pada 30 Mac 1995 di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang bagi membolehkannya berkahwin dengan seorang lelaki Islam.

Pasangan itu kemudian bercerai pada 16 Januari 2013 selepas 18 tahun perkahwinan dan memperoleh tiga orang anak.

Pada 21 Oktober 2014, wanita itu mengikrarkan akuan bersumpah bahawa dia mengamalkan ajaran Kristian dan berhajat kembali menganut agama tersebut.

Ekoran penceraian itu, wanita berkenaan memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor pada 22 Mac 2016 untuk keluar daripada Islam dan menukar kembali agama kepada Kristian.

Permohonan itu ditolak pada 23 Julai 2020. Wanita itu turut diperintahkan menjalani sesi kaunseling selama dua bulan lagi.

Keputusan tersebut kemudian disahkan oleh Mahkamah Rayuan Syariah Selangor pada 18 Januari lalu.

Mualaf itu selanjutnya memfailkan kebenaran semakan kehakiman pada 17 April lalu untuk mengetepikan kedua-dua keputusan berkenaan.

Selepas mendengar penghujahan pihak-pihak, Hakim Chew Soon menolak kebenaran semakan kehakiman pada 26 Jun lalu.

Wanita tersebut selaku pemohon menamakan tujuh pihak selaku responden iaitu Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Mahkamah Rayuan Syariah Selangor dan Kerajaan Negeri Selangor.

Turut dinamakan sebagai responden, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Jabatan Pendaftaran Negara dan Kerajaan Malaysia.

Dalam penghakiman bertulis bertarikh 17 Julai lalu, Hakim Chew Soon menyatakan, mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa mendengar pertikaian berkaitan penukaran agama kerana isunya menyentuh prinsip kepercayaan dan akidah Islam.

Pada hemat beliau, penentuan berkaitan kepercayaan dan akidah lebih sesuai dibuat oleh pihak yang benar-benar berpengetahuan dan memahami prinsip agama secara mendalam.

Penghakiman setebal 28 muka surat yang diperolehi daripada sistem mahkamah itu turut menyatakan keputusan mahkamah syariah tidak berubah sehingga wanita itu diisytiharkan bukan lagi beragama Islam.

Menurut penghakiman tersebut, MAIS memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor agar wanita itu menjalani sesi kaunseling sebelum perbicaraan. Pemohon kemudian menjalani 12 sesi kaunseling dengan seorang ustaz selama kira-kira setahun.

Pada perbicaraan kes syariah sekitar Ogos 2017, pemohon memberi keterangan berkaitan kepercayaan dan cara hidupnya. Turut memberi keterangan pegawai MAIS dan seorang paderi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN