Mohon pam air atasi banjir kilat Batu 38 Baroh - Utusan Malaysia

Mohon pam air atasi banjir kilat Batu 38 Baroh

Pam air
RIZAM Ismail dan Sawiah Dolah Sadari melihat parit yang mengakibatkan limpahan banjir di Kampung Batu 38 Baroh, Sabak Bernam, Selangor. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Penduduk Kampung Batu 38 Baroh di sini, memohon pembinaan satu pam air bagi mengatasi masalah kekerapan banjir kilat di kawasan itu yang berlarutan lebih 10 tahun lalu.

Bah itu mengakibatkan kira-kira 30 rumah didiami ratusan penghuni di kawasan berkenaan dinaiki air sehingga paras lutut.

Penduduk, Sawiah Dolah Sadari, 44, berkata kejadian terbaharu melanda kampung itu pada Disember tahun lalu akibat hujan berterusan sehingga menyebabkan air parit di hadapan rumah melimpah dan masuk ke dalam rumah serta mengakibatkan kerosakan perabot dan barangan elektrik.

“Pada waktu itu, puluhan kediaman lain turut terjejas dinaiki air dan akan surut selepas beberapa hari. Jika hujan dalam tempoh lama, hati saya menjadi gelisah kerana bimbang bah sama berulang,” katanya ketika disantuni calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.01 Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail.

Sementara itu, bagi Mohamed Abdul Majid, 79, limpahan akibat pertembungan air parit di beberapa kampung antara punca utama banjir tersebut.

“Jika satu pam air baharu dibina, ia mungkin dapat membantu menyelesaikan masalah limpahan berkenaan. Ini kerana air yang memenuhi parit akan mengalir ke Sungai Bernam,” ujar datuk kepada tujuh cucu itu.

Dalam pada itu, Rizam yang juga penyandang kerusi DUN berkenaan akan mengajukan cadangan pembinaan pam air di kampung tersebut kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Saya dan JPS sebelum ini melaksanakan langkah menaik taraf sistem perparitan yang dilihat mengurangkan kekerapan banjir.

“Namun, saya mahu banjir tidak lagi berlaku dan membantu penduduk yang bukan saja kemusnahan harta benda malah tanaman mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya