Misi pelaburan ke Korea Selatan mampu tarik pelabur baharu ke CVIA - Utusan Malaysia

Misi pelaburan ke Korea Selatan mampu tarik pelabur baharu ke CVIA

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (empat dari kanan) berkenan merakamkan gambar bersama sewaktu Majlis Penyerahan Agihan Zakat Ibnu Sabil Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bernilai RM5,000 kepada Kedutaan Besar Malaysia di Seoul.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan negeri dicadang supaya dapat melaksanakan misi pelaburan ke Korea Selatan dalam usaha menarik pelabur baharu bagi mengembangkan perusahaan mereka di Chuping Valley Industrial Area (CVIA), Padang Besar.

Duta Besar Malaysia ke Korea Selatan, Datuk Lim Juay Jin berkata, misi tersebut dapat membuka peluang buat kerajaan negeri menerangkan kepada usahawan negara berkenaan tentang potesi dan kelebihan Perlis khususnya CVIA sebagai salah satu destinasi pelaburan baharu.

Katanya, berdasarkan kepakaran dan teknologi terkini syarikat-syarikat di Korea Selatan, antara sektor yang berpotensi adalah seperti teknologi hijau, pertanian pintar, automotif, tenaga boleh diperbaharui, teknologi maklumat, elektrikal dan elektronik serta industri halal.

“Pihak kedutaan terutamanya pejabat Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Seoul akan sentiasa bersedia membantu dalam menjayakan segala usaha ke arah mewujudkan pelaburan yang mampan ke Perlis sebagaimana dilaksanakan oleh beberapa buah negeri lain sebelum ini,” katanya.

Juay Jin berkata demikian sewaktu Majlis Penyerahan Agihan Zakat Ibnu Sabil Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bernilai RM5,000 kepada Kedutaan Besar Malaysia di Seoul, baru-baru ini.

Majlis penyerahan itu disempurnakan oleh Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Mengikut rekod kedutaan, pada tahun 2022, jumlah pelaburan asing yang diluluskan dari negara Korea Selatan bagi sektor perkilangan di Malaysia adalah sebanyak 15 projek dengan nilai pelaburan berpotensi sebanyak RM6.298 bilion.

Manakala bagi suku pertama 2023, pelaburan dari negara Korea Selatan merupakan penyumbang kedua tertinggi bagi sektor perkilangan dengan jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM2.468 bilion melalui enam buah projek.

Dalam perkembangan sama, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, kawasan CVIA yang sedang giat diusahakan di Perlis mempunyai infrastruktur asas yang sesuai bagi menerima pelabur baharu.

“CVIA mempunyai infrastruktur asas yang sesuai dalam menerima pelabur dari Korea Selatan yang berhasrat untuk menempatkan projek pelaburan mereka di situ,” titahnya.

Mengulas mengenai penyerahan zakat berkenaan, Tuanku Syed Faizuddin yang juga merupakan Yang Dipertua MAIPs turut menitahkan harapan agar sumbangan zakat Ibnu Sabil itu dapat digunakan sebaiknya.

“Diharap sumbangan zakat Ibnu Sabil ini dapat digunakan oleh pihak kedutaan bagi membantu meringankan beban rakyat Malaysia yang dalam kesusahan dan kecemasan di Korea Selatan,” titahnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya