Mimpi judos mahu umur panjang, berkugiran sambil berkeluarga

Mimpi judos mahu umur panjang, berkugiran sambil berkeluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBELUM ke tempat kami adakan temu bual, saya mengulang dengar EP judos, dream.

Semakin didengar semakin kuat rasa yang mereka sedang membazirkan peluang. Ada potensi yang tak terpenuh.

Dream menemui pendengar sudah hampir setengah tahun tapi apa yang mereka sedang buat? Kenapa tak lincah mencari persembahan? Kenapa tak jual lagu-lagu ini di radio?

Selesai bersiap, setiap langkah ke kedai kopi itu saya mencari justifikasi. Dan tak susah pun nak cari.

Setiap kugiran ada cabaran dan ceritanya sendiri. Lebih-lebih lagi untuk kugiran independen, jalannya banyak bonggol.

Sekian banyak cerita potensi terbazir kugiran-kugiran yang saya dengar, sebab musababnya kuat.

Kebanyakannya terpaksa mengetepikan kugiran demi kestabilan hidup dahulu. Mungkin itu yang dialami judos juga.

Kalau syarikat rakaman ternama tak buat kerja promosi yang betul, kita patut marah kerana itu memang kerja mereka. Tapi untuk kugiran independen, jangan melenting dulu. Cabarannya berbeza.

Bikin kugiran dan menjalankan segala operasi kugiran dengan sendiri itu sudah besar pengorbanannya. Sebahagian hidup sudah diperjudi tanpa sebarang jaminan kejayaan.

KOMA IDENTITI 

Wisyarman, Guitar dan Aishah, sesi fotografi dan temuramah Judos band.-UTUSAN/M Firdaus M Johari

Mungkin agak malang untuk judos, mereka jadi mangsa soalan-soalan saya tentang operasi kugiran yang sebahagiannya, jika diterima dengan sensitif, boleh buat mereka persoalkan pilihan untuk berkugiran. Tapi Aishah dan Wisy menerimanya dengan matang. Jawapannya juga matang.

Hanya vokalis dan gitaris itu yang hadir temu bual kami. Tiga lagi ahli berada jauh di selatan.

Kalau saya kata EP dream itu sangat bagus, Aishah akan kata saya tipu. Memang betul, saya menipu kalau EP itu dipuji melangit. Bagi saya ia sederhana.

Namun, itu tidak bermaksud ia teruk. Untuk EP sulung sebuah kugiran muda, ia cukup baik. Tugasnya memperkenal dan kita boleh kenal siapa judos, sebahagian besarnya kerana vokal Aishah yang mudah diingati.

Seperti dalam ulasan saya dahulu, EP ini bercelaru dan gagal menoktahkan identiti judos tetapi bukan semua perkara perlu noktah. Ada masa, koma, koma bertindih atau titik bertindih lebih sesuai.

Kekuatan judos pada keserasian mereka dengan semangat zaman generasi sekarang. Lagu-lagu yang dreamy dengan lirik terkait emosi dan kekacauan fikiran mudah diterima.

Sebab itu sayang apabila mereka kurang membuat persembahan selepas dream dilancar. Potensi untuk memperluas kumpulan peminat terbazir.

KITAR KEJAM KUGIRAN KECIL 

Kata Aishah, tiada persembahan tak bermakna mereka tidak buat apa-apa.

“Walaupun tiada persembahan, kami secara aktif buat lagu. Dalam draf dah ada lebih 20 lagu.

“Cuma nak keluarkan belum lagi sebab kena ada proses yang elok. Tak nak keluarkan demo macam itu saja,” katanya.

Setiap ahli judos sibuk menjalani kehidupan masing-masing, menyebabkan mereka tidak begitu aktif membuat persembahan. Faktor kemasukan ramai artis antarabangsa juga diambil kira, menyebabkan gig-gig kecil sudah tidak dianjur sekerap dahulu.

Bagi Wisy, tugasan akhir pengajiannya membuatkan dia semakin sibuk dengan latihan. Tambahan pula, hanya dia yang menetap di Lembah Kelang berbanding ahli lain di Johor.

Untuk projek-projek lain, seperti video muzik atau rakaman lagu baharu, kewangan ialah halangan terbesar.

Ia bagai kitaran – tanpa persembahan yang banyak dan bayaran yang mencukupi, perkara lain pun tertangguh sebab tak ada duit; tanpa penerbitan produk baharu pula, nak dapat persembahan pun susah.

Itu dilema kugiran-kugiran kecil yang tiada sokongan modal atau tajaan besar. Sebab itu saya cakap pada bahagian awal, jangan terlalu cepat menghukum mereka. Kritikan yang membina, tak ada masalah.

MIMPI, BUKAN DELUSI 

Senyap yang sementara dan segala cabaran yang dihadapi tidak menghalang judos untuk bermimpi. Ilusi mimpi boleh jadi ubat yang melega, buat kita terus ada tujuan yang dikejar.

Saya sedar kesukaran yang dihadapi kugiran ini. Orang kata buat kugiran pada usia muda ini seronok tetapi pada usia muda juga kehidupan kita berlangsung pantas.

Seperti Aishah dan Wisy, kedua-dua mereka masih di universiti. Ada satu peralihan hidup besar yang belum dialami mereka, iaitu bekerja sepenuh masa. Sudah bekerja nanti, adakah mimpi-mimpi mereka masih didominasi hal berkenaan judos?

Kedua-duanya optimis. Mimpi Aishah, dalam beberapa tahun lagi, keluarga judos berkembang daripada ahli dan peminat kepada ahli, peminat dan keluarga.

“Aku nak jadi kugiran yang semua ahlinya ada keluarga (berkahwin, ada anak) dan dalam persembahan semua boleh datang, berjalan beramai-ramai. Bila buat persembahan atas pentas, keluarga semua datang.

“Aku boleh nampak visi itu cuma prosesnya, kami perlu bergelut. Tak mahu judos jadi impaknya setakat ini saja. Biarlah kami perlahan-lahan konsisten,” katanya.

Wisy juga positif, malah sudah ada formula. Bagi dia, dengan pengalaman belajar dengan pelbagai kugiran, setiap individu dalam kugiran perlu kuat bagi memastikan kugiran itu bertahan.

“Tak boleh orang luar masuk campur. Yang penting ada komunikasi,” jelasnya.

Untuk mimpi judos jadi nyata, kugiran itu perlu kuat dan lapangan perlu sihat. Ada faktor dalaman, ada faktor luaran. Semoga kedua-dua seiring dan kugiran ini dapat memenuhi potensi mereka suatu hari nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya