Merdeka: Terengganu guna tema, logo Kerajaan Pusat - Utusan Malaysia

Merdeka: Terengganu guna tema, logo Kerajaan Pusat

SEBANYAK 12 bot penambang dihiasi Jalur Gemilang pelbagai saiz menelusuri muara Sungai Terengganu sempena program Berarok Bot Nambang Merdeka dari jeti Seberang Takir. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu akan menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan yang sama dengan Kerajaan Pusat untuk sambutan peringkat negeri tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, semua persiapan yang dibuat untuk sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri akan diteruskan seperti biasa.

“Ya sama (penggunaan logo dan tema Hari Kebangsaan mengikut Kerajaan Pusat),” ja­wabnya ringkas ketika dihu­bungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini ialah ‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’ serta logo Malaysia Madani.

Jawapan itu sekali gus menamatkan spekulasi kononnya empat negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) mungkin menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan yang berbeza untuk sambutan pe­ringkat negeri pada tahun ini.

Pada Sabtu lalu, Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang diperintah gabungan itu berkemungkinan menggunakan logo dan tema alternatif yang dilancarkan Pemuda PN.

Bagaimanapun setelah mene­rima kritikan, Ahmad Fadhli­ yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, ia hanyalah cada­ngan Pemuda PN sebagai alternatif logo dan tema sambutan.

Sementara itu Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad memuji keputusan Terengganu untuk tetap menggunakan logo dan tema sambutan yang sama ditetapkan Kerajaan Pusat.

Katanya, Hari Kebangsaan hendaklah disambut semua pihak tidak kira fahaman politik dalam semangat penyatuan demi Malaysia yang disayangi.

“Kenyataan Menteri Besar Terengganu adalah tepat. Apa jua perbezaan pendapat hendaklah diketepikan demi membina negara yang lebih makmur,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya