PETALING JAYA: Kelantan bakal mendapat Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar yang baharu sekiranya Pas dah Perikatan Nasional (PN) kekal mentadbir negeri itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya memutuskan perubahan kedudukan dua jawatan itu dengan mengemukakan gabungan kepemimpinan baharu iaitu seorang tokoh agamawan dan seorang tokoh teknokrat, tertakluk kepada mandat rakyat dan perkenan Sultan Kelantan.
Selain itu, Pas memutuskan untuk mengekalkan Menteri Besar bagi Terengganu dan Kedah, tertakluk kepada mandat rakyat dan perkenan Sultan kedua-dua negeri.
Katanya, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Harian Pas Pusat yang dipengerusikan oleh Presiden parti, Tan Sri Abdul Hadi Awan di Rusila, Terengganu hari ini.
“Pas dengan ini menyeru semua pengundi untuk menunaikan tanggungjawab pada esok hari Sabtu 12 Ogos dengan memilih pemimpin yang Prihatin, Bersih dan Berkebajikan dari Pas dan Perikatan Nasional serta berharap proses pilihan raya di enam negeri berjalan dengan aman dan lancar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Buat masa kini, Menteri Besar dan Timbalan Menteri Kelantan masing-masing disandang Datuk Ahmad Yakob dan Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah.
Kedudukan Menteri Kedah dan Terengganu pula buat masa ini digalas Datuk Seri Dr. Ahmad Sanusi Mokhtar dan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor. – UTUSAN