Menteri Besar kecewa kanun jenayah syariah Kelantan dicabar

Menteri Besar kecewa kanun jenayah syariah Kelantan dicabar

MOHD Nassuruddin Daud semasa menyampaikan kuliah jumaat di Medan Ilmu, Kota Bharu, Kelantan.UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU : Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd, Nasuruddin Daud kecewa selepas ada individu bertindak mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 yang dilaksanakan di negeri ini.

Mohd. Nasuruddin berkata, lebih mengecewakan tindakan itu dibuat oleh seorang peguam beragama Islam dan berasal dari Kelantan bersama anaknya.

Menurutnya, Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 telah diperjuangkan sejak era pemerintahan Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat dan telah diluluskan dengan perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V serta dikuatkuasakan pada 2021.

“Sekarang ini undang-undang jenayah Syariah yang telah diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan sedang dicabar di mahkamah agar diisytiharkan terbatal dan tidak sah kerana bercanggah dengan perlembagaan negara.

“Siapa yang mencabar? Seorang Islam yang telah mengucap dua kalimah syahadah. Orang Kelantan sendiri,” katanya ketika menyampaikan Kuliah Pagi Jumaat di Medan Ilmu Tok Guru, di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti itu memberitahu, beliau bagaimanapun menganggap perkara itu bukan sesuatu yang pelik kerana tidak semua rakyat Kelantan akan bersetuju untuk bersama-sama memperjuangkan undang-undang jenayah syariah di negeri ini.

Katanya, beliau mengambil situasi pada era perjuangan Rasulullah SAW untuk menegakkan Islam bagi menggambarkan cabaran dalam usaha menegakkan undang-undang Islam di negara ini khususnya di Kelantan.

“Nabi Muhammad SAW adalah orang Mekah dan Abu Jahal juga orang Mekah, tetapi kedua-duanya tidak sependapat dalam perjuangan menegakkan Islam.

“Umat Islam tidak boleh diam dan perlu lawan dan memperjuangkan perkara ini secara bijak. Perlu guna saluran dan kuasa mahkamah. Saya juga ucap terima kasih kepada rakyat Kelantan kerana memberi sokongan terhadap perjuangan Islam,” katanya.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan, Panel sembilan hakim Mahkamah Persekutuan telah mendengar petisyen seorang peguam dan anaknya yang mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dalam usaha mengisytiharkan 20 peruntukan kesalahan dalam enakmen itu, terbatal dan tidak sah.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat mengetuai panel bersidang mendengar petisyen yang difailkan oleh Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman terhadap Kerajaan Negeri Kelantan.

Pada prosiding itu, mahkamah sebulat suara menolak permohonan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan untuk bertindak sebagai pencelah dalam pendengaran petisyen berkenaan atas alasan permohonan itu tidak berasas.

Ketika menolak permohonan itu, Hakim Tengku Maimun menarik perhatian semua pihak dan menegaskan, petisyen berkenaan hanya berkaitan pentafsiran perkataan-perkataan dalam Perlembagaan Persekutuan dan tiada kena mengena dengan doktrin Islam.

“Oleh yang demikian tidak timbul persoalan sama ada pihak pempetisyen mahupun mahkamah ini ingin menidakkan atau merendahkan kedudukan agama Islam di negara ini,” ujar Ketua Hakim Negara.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya