KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan beliau bersama ahli perniagaan dari Indonesia menghadap Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah tetapi pertemuan itu sebagai kunjungan hormat.
Perdana Menteri berkata, pertemuan itu tiada kaitan dengan urusan permohonan untuk mengusahakan aktiviti unsur nadir bumi (REE) di negeri berkenaan seperti yang didakwa Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Justeru, beliau memberi amaran kepada semua pihak supaya tidak memanipulasi isu tersebut.
“Isu dia curi nadir bumi, jangan alihkan (isu), saya mengadap tuanku kerana itu jadual Sultan Kedah, saya tak nak mengaitkan, itu pertemuan sultan.
“Majlis itu dengan sultan, dia tak bangkit soal REE. Isu dia kalau dia mohon ia bukan kena mengena dengan sultan, yang Sultan Kedah panggil saya ada hal-hal lain termasuk ziarah makam, itu soal lain,” katanya selepas merasmikan Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia 2023 (MCY Summit 2023) di sini, semalam.
Sebelum ini, media melaporkan Muhammad Sanusi mendakwa Anwar dan seorang warganegara Indonesia pernah ke negeri itu untuk meninjau tapak lombong REE sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Menurut laporan itu, Muhammad Sanusi berkata warganegara Indonesia yang dikenali sebagai ‘Reza Khalid’ itu dikatakan berminat melabur dalam aktiviti melombong REE di Kedah.
Dalam pada itu, Perdana Menteri mengakui program upskilling sedia ada di negara ini masih belum berada di tahap yang memuaskan.
Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh pihak syarikat automotif, Geely sewaktu membuat pertemuan dengan wakilnya sebelum ini.
Katanya, walaupun program tertentu seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sudah lama diwujudkan, masih beberapa perkara yang perlu diperbaiki.
“Dia tegur kelemahan kita. Latihan kita itu masih belum di tahap yang dianggap sebagai kemahiran tinggi menyebabkan kita masih memerlukan kepakaran, kemahiran dan teknologi dari luar negara.
“Saya tanya kepada mereka, adakah kemahiran itu terlalu rumit dan canggih bidang tersebut? Mereka kata tidak, ia hanya memerlukan tenaga kerja dan saintis untuk mengetahui keperluan syarikat dan memenuhi keperluan supaya ada TVET dan program upskilling yang betul-betul memenuhi keperluan,” katanya.
Pada masa sama, katanya, penambahbaikan terhadap program upskilling itu penting bagi memenuhi keperluan syarikat-syarikat yang melabur ketika ini seperti Tesla, Starlink, SpaceX, Infineon, Aramco dan Geely. – UTUSAN