Memang ada gerakan tumbangkan kerajaan negeri - Saarani - Utusan Malaysia

Memang ada gerakan tumbangkan kerajaan negeri – Saarani

SAARANI Mohamad (depan, tengah) bersama ADUN kerajaan pada perjumpaan di Ipoh. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad mengakui memang wujud gerakan pihak tertentu untuk menumbangkan kerajaan negeri.

Menurutnya, ia disebabkan pembangkang tidak berpuas hati terhadap prestasi mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada Sabtu lalu apabila gagal untuk mencipta gelombang baru penolakan rakyat terhadap kerajaan Pusat.

Beliau berkata, gerakan tersebut berusaha untuk memujuk sekurang-kurangnya empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan agar menyokong pembangkang bagi memperoleh majoriti mudah.

“(Di Perak) gerakan menumbangkan kerajaan negeri memang dalam pengetahuan kita. Memang ada gerakan itu, ada cubaan untuk menumbangkan kerajaan negeri.

“Yang kita tahu dalam kepala mereka sejak dulu lagi mereka perlukan empat ADUN sahaja untuk mendapat majoriti mudah tapi tidak semestinya ADUN BN, mungkin juga ADUN PH.

“Mungkin sesiapa sahaja daripada 33 ADUN ini, dia hanya perlukan empat ADUN sahaja, empat ADUN itu kita tak tahu siapa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan dengan semua ADUN kerajaan di sini hari ini.

Saarani berkata, perjumpaan dengan semua ADUN kerajaan hari ini membuktikan sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan di Perak.

Menurutnya, pertemuan itu juga mahu menghilangkan syak wasangka sesama ADUN kerajaan berikutan khabar angin wujud gerakan untuk menumbangkan kerajaan negeri.

“Kita tak mahu ada di antara 33 ADUN ini yang syak wasangka di antara satu sama lain. Ini kerana cara pembangkang mencetuskan dakwaan mahu menumbangkan kerajaan, ia mengundang rasa syak wasangka.

“Mungkin dalam kalangan rakan-rakan PH syak terhadap sembilan ADUN BN atau ADUN BN pun mungkin syak terhadap ADUN PH, jadi tak cantik.

“Itu sebab kita buat perjumpaan hari ini dan saya tengok mereka semua setia kepada Kerajaan Perpaduan. Semua 33 ADUN tak ada siapa mengaku mereka akan melompat parti,” katanya.

Saarani berkata, empat ADUN kerajaan tidak dapat hadir pada perjumpaan itu kerana mempunyai tugas masing-masing iaitu Nga Kor Ming (PH-Kepayang), Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (PH-Sungai Rapat), Muhamad Arafat Varisai Mahamad (PH-Hulu Kinta) dan Loh Sze Yee (PH-Jalong).

“Semua mereka memaklumkan kepada saya tidak dapat hadir kerana mempunyai tugas dan semuanya bersetuju dengan keputusan perjumpaan hari ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya