MELAKA: Melaka akan menganjurkan sambutan Hari Kebangsaan terbesar pasca pandemik Covid-19 dengan kekuatan hampir 10,000 peserta membabitkan pelbagai agensi mengambil bahagian pada acara perbarisan dan perarakan, Khamis ini.
Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (Japen) negeri, Shahrom Ravin Daram Abdullah berkata, Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam dijangka hadir bagi menyaksikan sambutan berkenaan diadakan di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir di sini.
Menurutnya, antara acara yang bakal menjadi tumpuan pengunjung adalah pertunjukan aset darat dan udara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Turut terlibat adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), jabatan dan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta pelajar sekolah. Setakat ini seramai 9,884 peserta akan mengambil bahagian sekali gus menjadikannya sambutan terbesar selepas pandemik Covid-19.
“Perbarisan dan perarakan melibatkan seramai 8,004 orang dengan 179 kontinjen dan 593 aset mengambil bahagian. Pastinya pertunjukan aset ATM dan JBPM bakal mencuri tumpuan pengunjung yang hadir.
“Kita menjangkakan seramai 20,000 pengunjung akan membanjiri Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan dan sekitar Banda Hilir pada 31 Ogos ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi raptai penuh sambutan Hari Kebangsaan 2023 di sini, hari ini.
Tambah Shahrom Ravin, sambutan Hari Kemerdekaan Ke-66 sangat istimewa apabila perarakan turut diadakan di Sungai Melaka.
Katanya, sebanyak 12 bot milik Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) menelusuri Sungai Melaka yang bermula dari Taman Rempah Ratus hingga ke Muara Sungai Melaka.
“Buat masa ini seramai 300 peserta dan aset-aset adalah dari PPSPM dan masih menunggu jika ada penyertaan saat akhir daripada agensi lain,” ujarnya. – UTUSAN