SAYA masih ingat bagaimana naskhah novel Meg: A Novel of Deep Terror yang terbit pada 1997 diadaptasi ke layar perak buat pertama kali pada 2018 oleh pengarah Jon Turteltaub.
Premisnya menarik, tapi tidaklah begitu menangkap. Ketika Meg 2: The Trench dimaklumkan menjengah ke panggung dengan sentuhan pengarah lain iaitu Ben Wheatley, saya sebenarnya telah meletakkan sebuah harapan baharu filem kedua ini mungkin akan lebih baik baik daripada sudut aksi mahupun garapannya.
Meg 2 masih diadaptasi daripada penulis yang sama, Steve Alten menerusi buku The Trench yang terbit pada 1999. Filem kedua ini masih mengekalkan Jason Statham yang memang mempunyai karisma tersendiri. Mungkin sebab itulah dia selalu menjadi bintang taruh dalam deretan filem aksi.
Ben Wheatley membawa penonton berundur ke garis masa sedikit belakang menceritakan sedikit sejarah kewujudan Jerung Megalodon (Meg) di pembukaan filem sekuel ini.
Meg wujud sezaman dengan dinosaur kira-kira 65 juta tahun lalu. Memberi info awal bahawa walaupun beberapa abad telah berlalu namun Meg, seekor raksasa di dalam laut masih wujud dan berbahaya sehingga ke hari ini.
Sebab itu, dunia memerlukan Jonas dan pasukan Mana One untuk memerhati kewujudan Meg agar tidak menimbulkan huru hara kepada manusia.
Di awal filem ini, seperti filem pertamanya, kita lekas faham bahawa Meg yang ganas adalah sebuah ancaman dan musuh kepada manusia.
TAMBAH PELAKON, AKSI
Plot Meg 2 dibesarkan dengan kehadiran rakan seperjuangan Minway Zhang dan anak saudaranya Meiyang Zhang yang berusia 14 tahun.
Mereka semua sepakat dalam projek mengkaji hidupan bawah laut di samping mengetengahkan beberapa inovasi khususnya pakaian yang mampu membekalkan lebih banyak oksigen dan memudahkan pergerakan pada kedalaman 25,000 kaki dari bawah laut.
Mereka berjaya menangkap Meg dan meletakkannya di Palung Mariana untuk dikaji. Sehinggalah terlepas dan kembali ke laut bersama keluarganya. Maka bermulalah lebih banyak aksi sepanjang filem ini.
Saya boleh katakan bahawa dari sudut aksi, Meg 2 jauh lebih rencam dan kompleks. Di act 2 filem ini, penonton akan dibawa ke satu persoalan baharu tentang siapakah pemberi ancaman yang sebenar.
Adakah Meg, seeekor jerung musuh sebenar kepada manusia atau adakah manusia sebenarnya yang memberi ancaman kepada makhluk di perairan yang membuatkan mereka mengamuk kerana habitatnya diganggu.
Bukan itu sahaja, Ben Wheatley menunjukkan bahawa konflik yang paling besar di dalam cerita ini tidak dimulakan oleh seekor jerung, tapi pengkhianatan manusia yang tamakkan harta dan nama.
MEMBOSANKAN
Walaupun Ben membawa lebih banyak pelakon untuk filem kedua ini, namun saya merasakan naskhah ini tidak kurang membosankan daripada filem yang pertama mungkin kerana tiada keserasian yang sangat ketara antara Meiyang, Minway dan Jonas.
Penampilan mereka di skrin terasa sangat kaku, seolah-olah mereka baru sahaja bertemu tiga bulan. Mereka gagal menampilkan hubungan akrab selama 14 tahun yang sepatutnya diketengahkan.
Memasuki act 3 filem ini menampilkan lebih banyak gergasi dan aksi. Tidak hanya jerung, mereka juga terpaksa berlawan dengan seekor sotong gurita gergasi di sebuah pulau.
Ben mungkin ingin menampilkan naskhah yang ‘gila’ dengan lambakan antagonis sama ada manusia mahupun raksasa. Namun, saya tidak dapat menolak bahawa ia kelihatan sangat kelam kabut, tidak kemas baik dari naratif mahupun keseluruhan garapan.
Aneh sekali, kerana biarpun aksinya banyak, namun saya tetap rasa ia membosankan. Walaupun keseluruhan garapan filem ini masih kurang memuaskan, namun pujian harus diberikan kepada pasukan grafik kerana imej yang ditampilkan hampir sempurna.
Cuma, sekiranya filem ini mempunyai sambungan untuk filem ketiga, saya mungkin tidak teruja untuk menontonnya.