GEORGE TOWN: Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah diarahkan untuk membatalkan kelulusan konsert Viral Lagu Tik Tok yang akan berlangsung pada 30 September depan di Dewan Milenium, Kepala Batas, dekat sini.
Timbalan Ketua Menteri I, Prof. Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, konsert berkenaan telah mendapat bantahan penduduk setempat yang dianggap tidak mengambil kira sensitiviti umat Islam memandangkan akan diadakan dua hari selepas umat Islam meraikan sambutan Maulidur Rasul.
”Kerajaan negeri mengambil maklum mengenai konsert Viral Lagu Tik Tok yang dijadual berlangsung pada 30 September 2023, di Dewan Milenium, Kepala Batas.
“Selaku Exco Pembangunan Agama Islam, saya telah meminta pihak berkuasa tempatan MBSP untuk membatalkan kelulusan konsert berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sebelum ini, tular poster penganjuran Konsert Viral Lagu-Lagu TikTok Malaysia Indonesia 2023 yang menampilkan artis tempatan dan beberapa artis Indonesia.
Penganjuran konsert itu bagaimanapun mendapat bantahan penduduk setempat yang kesal kerana mendakwa pihak penganjur tidak sensitif dengan penduduk setempat khususnya yang beragama Islam.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, pihak penganjur telah memohon memindahkan lokasi konsert ke Batu Kawan dengan syarat-syarat tambahan.
“Warga setempat telah mengemukakan bantahan rasmi mereka kepada Datuk Bandar MBSP,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menerusi Facebook turut membantah penganjuran konsert berkenaan.
“Saya dihujani dengan aduan dan pertanyaan berkenaan penganjuran sebuah konsert yang akan diadakan pada 30 September 2023, bertempat di Dewan Millenium, Kepala Batas.
”Setelah mendapat maklumat terperinci, saya telah mengarahkan #TeamBertamKita mengemukakan bantahan rasmi kepada Datuk Bandar MBSP Datuk Azhar Arshad,” katanya.
Tambahnya, penganjuran konsert hiburan sebegitu, pertamanya tidak sesuai diadakan dalam persekitaran Kepala Batas dan keduanya, ia diadakan dua hari selepas umat Islam meraikan sambutan Maulidur Rasul.
”Terima kasih kepada warga Bertam dan #TeamBertamKita yang cukup cakna tentang kemaslahatan kita bersama,” katanya.