MB Selangor naik Vespa keluar mengundi

MB Selangor naik Vespa keluar mengundi

AMIRUDIN Shari bersama isteri, Masdiana Muhamad menaiki motosikal Vespa selepas selesai mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Selayang Baru bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Amirudin Shari mencuri tumpuan apabila tiba di pusat mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor bersama isteri dengan menaiki motosikal Vespa seawal 8.45 pagi tadi.

Menteri Besar Selangor itu tiba dengan memakai jersi Selangor FC bersama isterinya, Datin Seri Masdiana Muhamad di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Selayang Baru bagi mengundi untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer.

Beliau menjelaskan, beliau membuat keputusan untuk menaiki motosikal bagi memudahkan proses perjalanan pada hari mengundi.

“Saya naik motosikal sebab memang sesak kalau saya datang dengan kereta dan sebagainya, takut menyusahkan orang.

“Jadi, saya naik motosikal. Kalau nak lawat pusat-pusat mengundi, saya naik motosikal sahaja lepas pukul 10 pagi nanti, lagi pun saya hanya dibenarkan melawat di pusat-pusat mengundi DUN Sungai Tua,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai mengundi.

Beliau juga menasihatkan pengundi supaya mengundi lebih awal bagi mengelakkan terperangkap dalam cuaca yang tidak menentu.

“Nampaknya dalam 15 ke 20 minit awal sudah mula ramai mengundi, jadi kita bimbang di sebelah petang cuaca tidak mengizinkan.

“Jadi, ambil kesempatan ini untuk menunaikan tanggungjawab, ambil peluang anda putuskan pentadbiran negeri untuk lima tahun akan datang,” katanya.

Amirudin selaku calon Pakatan Harapan (PH) di DUN Sungai Tua berdepan pertandingan tiga penjuru iaitu calon Perikatan Nasional (PN), Muhammad Hanif Jamaludin dan calon Bebas, Suman Gopal.

Beliau menyandang kerusi Sungai Tua dan jawatan Menteri Besar sejak 2018, selepas dua penggal memenangi kerusi Batu Caves pada 2008 dan 2013.

Terbaharu, beliau memenangi kerusi Parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan majoriti 12,729 undi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya