KANGAR: Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli mengambil tanggungjawab dan memohon maaf atas kekilafan membabitkan acara muzik serta persembahan nyanyian sehingga tengah malam dalam majlis perbarisan dan perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri ini yang mungkin dianggap sedikit berlebihan.
Ia adalah insiden di luar jangka bagi mengisi slot selama setengah jam itu selepas persembahan dron bercahaya yang sepatutnya selepas pertunjukkan bunga api berlangsung sedikit lewat ekoran masalah teknikal.
Katanya, situasi tersebut berlaku di luar kawalan sewaktu slot program yang kosong dalam majlis berkenaan berikutan masalah teknikal dihadapi oleh pihak pengendali dron.
“Sewaktu menunggu masa yang kosong berikutan persembahan formasi dron menghadapi masalah teknikal, ia telah diisi dengan acara muzik dan nyanyian melibatkan anak-anak muda (secara berlebihan) yang pada saya tidak begitu manis.
“Dan sebagai ketua pentadbiran kerajaan negeri, saya mengambil tanggungjawab atas apa yang berlaku ini dan memohon maaf,” katanya di sini, hari ini.
Majlis Fatwa Negeri Perlis pada 11 Jun 2016 lalu telah mengeluarkan garis panduan bagi sebarang acara persembahan hiburan di negeri ini yang tidak seharusnya mengandungi sebarang anasir bertentangan dengan syarak.
Antara garis panduan berkenaan turut mengkehendaki agar pelaksanaan sebarang acara hiburan hendaklah tidak mendorong kepada sifat dan kelakuan melampau yang merendahkan akhlak mulia insani.
Dalam pada itu, Mohd Shukri berkata, pihaknya berharap insiden sebegitu tidak lagi berulang dan menjadi pengajaran buat kerajaan negeri selepas ini.
Katanya, beliau juga turut merakamkan penghargaan kepada Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin yang memberi teguran dan meminta agar keputusan Majlis Fatwa negeri berkaitan hiburan dapat diikuti sepenuhnya.
“Ini adalah satu peringatan dan saya merakamkankan penghargaan dan terima kasih,” katanya.
Semalam menyaksikan pertunjukan sebanyak 350 dron bercahaya yang membentuk pelbagai formasi di akhir majlis perbarisan dan perarakan sambutan Hari Kebangsaan 2023 peringkat negeri berjaya ‘memukau’ lebih 25,000 pengunjung yang hadir di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.
Persembahan selepas pertunjukan bunga api sempena ambang merdeka itu mencipta kelainan apabila buat pertama kali dipersembahkan pada majlis sambutan itu.
Selain pertunjukan formasi dron bercahaya itu, perarakan berkuda yang julung kali terlibat turut menarik perhatian pada majlis berkenaan.
Pada majlis perbarisan dan perarakan yang bermula pada pukul 8 malam itu, sebanyak 57 kontinjen membabitkan 2,339 peserta terlibat membabitkan jabatan kerajaan negeri, persekutuan, badan berkanun, pasukan beruniform, agensi swasta, pertubuhan, badan bukan kerajaan (NGO), komuniti, institusi pengajian tinggi (IPT) dan pelbagai lagi.-UTUSAN