SHAH ALAM: Polis masih dalam proses mengumpulkan cebisan mayat mangsa nahas pesawat yang didapati berada dalam keadaan tidak sempurna sebelum kesemuanya boleh dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, untuk proses selanjutnya.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, hanya mayat mangsa penunggang motosikal yang terkena hentaman pesawat berkenaan dikenalpasti berada dalam keadaan sempurna.
“Body not intact. Tidak sempurna, ada yang tiada terputus anggota badan seperti tangan, kaki, kepala dan sebagainya. Jadi, proses pencarian cebisan masih dijalankan sebelum kesemuanya boleh dibawa ke HTAR.
“Setakat ini hampir kesemua mayat sudah dikenalpasti identitinya termasuk penunggang motosikal terbabit. Namun bagi pemandu kereta pula kita sedang siasat sama ada mangsa adalah pemandu e-hailing atau tidak untuk mengenalpasti jika ada penumpang lain,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.
Beliau menambah pihak berkuasa juga membuka pusat khas bagi waris dekat balai polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan bagi mengumpulkan asid deoksiribonukleik (DNA) untuk memudahkan proses mengenalpasti waris dan identiti mayat.
Jelasnya lagi, ketika ini polis menumpukan perhatian kepada pencarian cebisan mayat sebelum pengesanan kotak hitam dilakukan untuk disiasat oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU), Kementerian Pengangkutan.
Terdahulu, sekurang-kurangnya 10 warga tempatan maut dalam nahas sebuah pesawat ringan jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) pada pukul 2.40 petang tadi di Persiaran Elmina, Seksyen U16, di sini, yang dalam perjalanan dari Langkawi, Kedah menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.
Bagaimanapun, pesawat terbabit terputus hubungan dengan menara kawalan sebaik sahaja mendapat kebenaran untuk mendarat di lapangan terbang berkenaan.
Mangsa yang berada dalam pesawat seramai lapan orang terdiri daripada enam lelaki termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun serta dua anak kapal termasuk seorang juruterbang.
Sementara dua lagi merupakan penunggang motosikal dan pemandu kereta yang kebetulan berada di Persiaran Elmina berhampiran susur masuk Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) dari arah Denai Alam.
Dalam pada itu, Razarudin memaklumkan, seramai 240 orang petugas terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta terlibat dalam operasi pencarian yang masih lagi diteruskan ketika ini.
“Antara agensi terlibat seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Pejabat Tanah dan Daerah Petaling serta pasukan daripada GCE dan Prolintas.
“Keluasan kawasan pencarian adalah melebihi satu ekar (0.404 hektar) daripada pusat nahas, sementara laluan (Persiaran Elmina) ditutup sepenuhnya kepada orang awam sehingga pencarian cebisan mayat dan serpihan pesawat selesai dilakukan,” ujarnya. – UTUSAN