LIPIS: Sebilah mata lembing era penguasaan Inggeris di Pahang dan senjata tradisi orang Melayu pada akhir abad ke-19 ditemukan di Sungai Rengai, Lipis baru-baru ini.
Seorang penduduk, Jamihan Ramli, 62, dari Kampung Kemahang Hilir berkata, ketika sedang mencari ikan di sungai itu, dia ternampak objek di muka sungai seperti kepala ikan timbul di permukaan.
“Saya bergegas melalui air sungai yang tidak dalam ke tempat itu dan mendapati ia sebilah mata lembing tanpa batang. Mata lembing itu sepanjang kira-kira 100 sentimeter diperbuat daripada besi baja.
“Sangat menakjubkan kerana kawasan sungai itu menjadi tempat memancing ketika air besar tetapi tidak pula terjumpa khazanah itu,” katanya di sini semalam.
Jamihan berkata, difahamkan ada juga penduduk dari kampung berdekatan menemukan senjata lama seperti keris, parang panjang, tembaga, tembikar, keris, lembing dan lain-lain senjata di Sungai Rengai.
Tambah beliau, Sungai Rengai merupakan sungai laluan penting perdagangan darat perahu dagang ke Kampung Pagar, Lipis melalui Sungai Lipis dan Sungai Jelai.
Menurutnya, sekitar 1960-an, Sungai Rengai besar dan dalam tetapi kini semakin sempit dan tidak dalam kesan daripada projek pembangunan pertanian dan perumahan.
Ketua Kampung Rengai, Kamaruzaman Mohamad Din, 69, berkata, Sungai Rengai dahulu merupakan ‘lebuh raya’ dilalui perahu-perahu dagang sewaktu zamannya yang bersambung ke Sungai Jelai dan Sungai Pahang.
Oleh itu katanya, tidak hairanlah jika terdapat artifak seperti keris, lembing atau barang kemas yang mungkin terjatuh ke sungai atau perahu karam.
Tambah beliau, timbulnya kapal Inggeris selepas banjir besar beberapa tahun lalu di Kampung Pagar Lipis membuktikan kepentingan rangkaian ‘lebuh raya’ pada era itu. – UTUSAN