KUCHING: Masyarakat Dayak perlu mengambil peranan penting dalam usaha kerajaan Sarawak menerokai ekonomi baharu di negeri ini, kata Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, keistimewaan masyarakat Dayak yang mempunyai pelbagai latar belakang adat resam dalam etnik masing-masing sekali gus memberi peluang kepada keterlibatan dalam pembangunan ekonomi di Sarawak.
“Masyarakat Dayak dapat membangun dalam era pembangunan yang sedang rancak kita laksanakan tanpa menjejaskan adat resam mereka. Kalau dahulu budaya Dayak ini mereka terlibat dalam bidang pertanian yang begitu rancak dan mereka mempunyai adat ‘berjalai’ (satu-satu individu itu pergi lebih menjangkau daripada kawasan di diami) untuk menerokai benda baharu.
“Justeru, karakter yang ada dalam masyakarat Dayak itu penting dalam dunia moden kini, kerana dalam dunia moden ini kita menggunakan teknologi yang mana perlu adanya penerokaan kepada perkara baharu.
“Oleh itu, komuniti Dayak yang telah menerokai bidang perniagaan ini digesa menerokai perkara baharu menggunakan kaedah seperti dulu dan berdasarkan kepada ekonomi alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan ibu pejabat baharu Yayasan Kebudayaan Dayak (DCF) serta Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI) di sini, hari ini.
Ibu pejabat baharu DCF dan DCCI itu melibatkan dua menara yang menelan kos RM36 juta dengan keluasan 2.32 hektar dan berketinggian sembilan tingkat milik DCF dan DCCI.
Pembinaan menara dikenali sebagai Panggau Dayak itu adalah untuk menyelaras serta mengawal selia hal-hal berkaitan adat dan budaya masyarakat tersebut.
Di samping itu, DCF dan DCCI juga membangunkan dua bangunan komersial iaitu apartmen dan kondominium di kawasan yang sama.
Abang Johari berkata, kewujudan bangunan DCF dan DCC menjadi simbolik ke arah pembangunan masyakat Dayak ke arah pembangunan era baharu.
“Apa yang penting adalah perpaduan di antara masyarakat Dayak dan jmasyakarat bumiputera lain yang ada di negeri, yang mana ia menjadi komponen kepada pembangunan Sarawak pada masa depan,” katanya. – UTUSAN