PUTRAJAYA: Seorang wanita tidak menyangka dapat melahirkan seorang bayi merdeka yang pertama di Hospital Putrajaya (HPj) di sini kira-kira pukul 12.51 tengah malam tadi.
Menurut Syahnaz Mohd. Ali, 37, ketika tiba dengan suaminya, Mohamad Norazman di hospital berkenaan pukul 6 petang semalam, mereka menjangkakan bayi itu lahir lebih awal.
“Saya ingat mungkin tidak sempat melahirkan bayi merdeka tetapi terkejut apabila anak lelaki ketiga ini selamat lahir selepas 12 tengah malam,” katanya ketika ditemui pemberita.
Beliau yang bertugas sebagai pegawai teknologi makanan di Kementerian Kesihatan dan menetap di Kajang, Selangor antara diraikan oleh pihak pengurusan hospital itu hari ini bersempena Hari Kebangsaan 2023 bersama lima lagi bayi merdeka, dilahirkan di fasiliti berkenaan setakat pukul 12 tengah hari.
Mereka diraikan oleh Pengarah HPj, Dr. Suraya Amir Husin dan Pengerusi Pertubuhan Kasih Mekar Malaysia, Husna Abdul Rahman dengan menerima sumbangan keperluan bayi.
Mengulas lanjut, Syahnaz berkata, ini kali kedua anaknya dilahirkan di hospital itu selepas anak kedua, yang juga lelaki, manakala anak lelaki sulung pula dilahirkan di ibu negara.
Sementara itu, Suraya yang baru dilantik menerajui HPj akhir Mac lepas turut teruja dengan sambutan ke atas bayi merdeka tersebut dan menjangkakan ramai akan menyusul sebelum 11.59 malam ini.
Bayi pertama ujarnya, dilahirkan dengan berat 2.87 kilogram (kg) manakala kedua pukul 1.50 pagi tadi merupakan bayi perempuan dilahirkan Tee Yik Fong dengan berat 3.02 kg.
Ini diikuti dengan bayi lelaki pada pukul 2.07 pagi dengan berat 2.8 kg manakala dua bayi perempuan selamat dilahirkan kemudian masing-masing pukul 10.48 pagi dan 11.06 pagi. – UTUSAN