Masalah hutang punca dua lelaki bergaduh sehingga cedera parah - Utusan Malaysia

Masalah hutang punca dua lelaki bergaduh sehingga cedera parah

LING Boon Huat (kanan) dibawa ke Mahkamah Majistret Seri Manjung hari ini atas tuduhan memukul rakannya sehingga cedera parah di sebuah pusat hiburan, akhir bulan lalu. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seri Manjung hari ini atas tuduhan bergaduh sesama sendiri sehingga menyebabkan kecederaan parah pada tubuh masing-masing, akhir bulan lalu.

Ling Boon Huat, 40, dan Ngoi Mei Hock, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan tersebut.

Boon Huat dituduh menyebabkan kecederaan parah terhadap Mei Hock di Pusat Hiburan Mikado Kafe, Sitiawan, kira-kira pukul 12.04 tengah malam pada 30 Julai lalu.

Mei Hock pula dituduh menyebabkan kecederaan parah kepada Boon Huat di dalam Bilik 111 pusat hiburan sama kira-kira pukul 10 malam pada tarikh sama.

Kedua-duanya dituduh di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Majistret T. Kavita membenarkan jaminan RM4,500 masing-masing kepada kedua-dua tertuduh.

Beliau turut memerintahkan kes itu disebut semula pada 19 September kepada Mei Hock dan 21 September untuk Boon Huat bagi serahan laporan perubatan.

Pendakwaan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Norjihan Jaya manakala Boon Huat diwakili peguam Joanne Koay Jing Qian dan Mei Hock pula oleh peguam Kartini Mansor.

Terdahulu, Norjihan menawarkan jaminan RM8,000 seorang kepada kedua-dua tertuduh.

Dalam rayuannya, Boon Huat menyatakan dia duda anak seorang berusia 17 tahun yang masih bersekolah selain menanggung bapa berusia 71 tahun yang uzur.

Tertuduh yang bekerja di sebuah kedai kopi memaklumkan pergaduhan berlaku dengan rakan yang berhutang wang dengannya.

Dalam pergaduhan itu, dia mengalami kecederaan retak tangan kanan selain kecederaan lain yang memerlukan rawatan susulan.

Mei Hock dalam rayuannya pula memaklumkan dia duda yang menanggung dua anak masih kecil selain menanggung ibu bapanya.

Tertuduh yang bekerja sebagai peniaga cedera di kepala, beberapa bahagian tubuh dan belakang badan yang juga memerlukan rawatan susulan.

Kejadian pergaduhan itu menjadi tular dalam media sosial khususnya Telegram selepas salah seorang tertuduh mencerca pihak berkuasa terutama polis kerana didakwa tidak mengambil tindakan terhadap pihak terlibat kejadian tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya