Mara sedia jalin kerjasama bangunkan fasiliti untuk masyarakat - Utusan Malaysia

Mara sedia jalin kerjasama bangunkan fasiliti untuk masyarakat

ZULFIKRI Osman memotong reben sebagai tanda perasmian padang sintetik AWM di AKM Seberang Perai Selatan (SPS) di Nibong Tebal, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

NIBONG TEBAL: Majlis Amanah Rakyat (Mara) bersedia menjalin kerjasama dengan mana-mana organisasi atau agensi dalam membangunkan lebih banyak fasiliti yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat.

Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) Mara, Datuk Zulfikri Osman berkata, sebagai contoh, kerjasama yang dimeterai bersama Akademi Bola Sepak Wira Muda (AWM) untuk membangunkan kemudahan padang sintetik di sini membolehkan bakat-bakat baharu dalam sukan itu terus digilap.

“Bagi saya, ini (kerjasama dengan AWM) boleh dianggap sejarah buat Mara kerana ia dibuat dalam kawasan kita iaitu AKM (Akademi Kecemerlangan Mara) di Jawi di sini.

“Dalam hal ini, saya juga melihat kesungguhan AWM melatih anak-anak kecil kita seawal usia 12 tahun dan ke bawah untuk menguasai kemahiran dalam permainan bola sepak.

“Justeru, saya berharap kerjasama seperti ini dapat diteruskan lagi termasuk di tempat-tempat lain dan melibatkan bukan sahaja organisasi sukan, tetapi dengan organisasi serta agensi-agensi lain juga selepas ini,” katanya.

ZULFIKRI Osman mengambil sepakan penalti sebagai tanda perasmian padang sintetik AWM di AKM Seberang Perai Selatan (SPS) di Nibong Tebal, Pulau Pinang semalam.

Beliau ditemui pemberita selepas hadir merasmikan padang sintetik tersebut yang dikenali sebagai AWM Sport Arena di sini, semalam.

Yang hadir sama, Pengasas AWM, Shaik Awish Alkirani Shaik Haronarashib dan Pengarah Mara Pulau Pinang, Norsiden Ahmad.

Dalam pada itu, Shaik Awish Alkirani berkata, padang sintetik berkeluasan kira-kira 0.8 hektar itu dibangunkan dengan kos sebanyak RM400,000 dan telah dibuka sejak lebih dua minggu lalu.

Beliau turut berterima kasih kepada Mara khususnya AKM kerana memberikan peluang kepadanya menggunakan padang mereka selama lima tahun sebelum ini dan bekerjasama dalam menjayakan projek pembangunan padang sintetik itu.

“Harapan saya ialah untuk melihat kerjasama ini terus berkekalan pada masa depan demi kemajuan sukan bola sepak di negara ini,” katanya.

Ditubuhkan sejak Oktober 2018 dengan jumlah pelatih kira-kira 80 orang, AWM kini memiliki lebih 200 pelatih yang dibahagikan kepada empat peringkat umur iaitu bawah lapan tahun, 10 tahun, 12 tahun dan bawah 15 tahun.

Sehingga kini juga, beberapa pelatih yang dicungkil bakat mereka daripada AWM telah berjaya menarik minat akademi bola sepak tersohor lain seperti Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) dan Akademi Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk terus dikembangkan bakat mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya