KANGAR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) negeri telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM9.325 juta bagi membantu 75 usahawan bermula Januari hingga Ogos tahun ini.
Peruntukan bantuan yang diberikan meliputi pelbagai bidang antaranya makanan, minuman, automotif dan kecantikan.
Peruntukan disalurkan merupakan kemudahan pembiayaan untuk memulakan perniagaan, penyediaan latihan serta pengembangan perniagaan termasuk pendigitalan perniagaan yang diusahakan.
Demikian dipersembah maklumkan oleh Pengarah Mara negeri, Mohd Azam Jamaluddin kepada Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas baginda berkenan berangkat mengetuai Program Kayuhan Semarak Gemilang Mara 66 yang bermula dan berakhir di pekarangan Dewan Pertubuhan Kebajikan Rumah Anak Yatim Mak Teh di sini, semalam.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawan) Mara, Datuk Zulfikri Osman,Ketua Pegawai Eksekutif Rural Capital Berhad, Hiruddin Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pelajaran Mara, Mohd Amran Mohd Ariffin.
Program Kayuhan di sekitar bandar Kangar sejauh 20 kilometer yang melibatkan seramai 66 orang peserta mengambil simbolik 66 tahun kemerdekaan itu telah dianjurkan oleh Mara negeri.
Dalam program berkenaan baginda berkenan untuk menyaksikan majlis penyerahan ‘mock cek’ pembiayaan perniagaan Mara oleh Zulfikri kepada Noor Faezah Tumari dari Pioneer Premier Sdn Bhd yang mewakili 67 penerima pembiayaan perniagaan Mara bernilai RM 9.325 Juta.
Mock cek Pembangunan Pendidikan Pelajar, Yayasan Pelajaran Mara (YPM) pula diserahkan kepada Pertubuhan Kebajikan Rumah Anak Yatim Mak Teh sebanyak RM3,000.
Baginda menzahirkan rasa sukacita atas segala bentuk bantuan yang telah pihak Mara salurkan kepada penerima.
“Semoga bantuan ini dimanfaatkan dengan tujuan menambah baik dan mengembangkan lagi perniagaan sedia ada agar dapat menambah serta menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan di negeri ini,” titah baginda.-UTUSAN