Manisfesto jadi penentu undi atas pagar - Utusan Malaysia

Manisfesto jadi penentu undi atas pagar

MUHAMMAD IZMER YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Manifesto yang dilihat paling memberi keuntungan atau manfaat kepada rakyat bakal menjadi antara faktor penentu khususnya para pengundi atas pagar membuat keputusan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos depan.

Memasuki pusingan kedua kempen ketika ini, ia tidak menampakkan banyak perubahan dengan Pakatan Harapan (PH) dilihat masih tertumpu kepada serangan terhadap Kedah dan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor manakala daripada corak kempen Perikatan Nasional (PN) juga tidak banyak bezanya iaitu serangan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemerhati politik yang juga pensyarah Jabatan Bahasa dan Pengajian Umum, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Muhammad Izmer Yusof berkata, kedua-dua gabungan berkenaan telah menampilkan tawaran menarik dalam manifesto masing-masing dan ia bakal menjadi petunjuk kepada
pengundi-pengundi khususnya mereka yang di atas pagar memilih dalam PRN nanti.

Daripada segi peluang, katanya, beliau masih melihat PN mempunyai kelebihan besar di Kedah, Kelantan dan Terengganu manakala gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) pula lebih cenderung mengekalkan Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang namun diramal dengan majoriti mudah sahaja.

Bagaimanapun katanya, jika peratusan keluar mengundi pengundi Melayu antara 80 sehingga 85 peratus, ia bakal memberi kesan kepada PH di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

“Secara umumnya, PH dilihat masih sukar untuk menarik sokongan Melayu secara signifikan dengan masih berharap kepada UMNO untuk membantu menarik sokongan Melayu.

“Manakala, jika pengundi muda khususnya di bawah 30 tahun terus bertambah sebagaimana Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), ia bakal memberi kelebihan kepada PN. Anak-anak muda ini dilihat masih cenderung kepada PN.

“Undi 18 ini kebanyakkannya pula adalah pengundi setempat memandangkan mereka baru habis sekolah dan belum lagi berhijrah,” katanya.

Tambah Muhammad Izmer, sejauh mana undi Melayu UMNO dapat membantu gabungan BN dan PH itu akan dapat dilihat dalam PRN ini.

“Hal demikian kerana, PRN ini adalah kerjasama pertama gabungan tersebut. Pada PRU15, gabungan tersebut masih tidak bersama dan tidak teruji lagi bagaimana terjemahan undi penyokong BN kepada PH,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya