PETALING JAYA: Hubungan dua hala antara Malaysia dan India wajar menjadikan warisan dan budaya kedua-dua negara sebagai wadah keharmonian serta keamanan dalam hal-hal kemanusiaan antarabangsa.
Pengerusi dan Pengasas Yayasan Budi, Tan Sri Rais Yatim berkata, hubungan persahabatan yang telah lama terjalin selama beribu tahun dalam perkara warisan dan budaya Malaysia-India misalnya, harus dijadikan wadah diplomatik dan hubungan sosial yang utuh.
“Universiti di kedua-dua negara harus mendalami aspek antikuiti Lembah Bujang di Kedah sebagai tumpuan penyelidikan arkeologi dan warisan lampau.
“Lembah Bujang mempunyai tamadun Melayu-India yang menjangkau hampir 2,000 tahun lamanya kini terabai. Warga akademik harus bangun memperjuangkan penyelidikan ini termasuk tamadun Langkasuka,” katanya dalam kenyataan sempena Persidangan Warisan dan Budaya antara Malaysia-India anjuran oleh Persatuan Warisan Malaysia-India dengan kerjasama Suruhanjaya Tinggi India di Malaysia.
Katanya, sejarah Melayu sebagai buku ulung tamadun Melayu mesti beroleh kajian susulan tentang asal-usul Melayu dan perhubungan dengan putera-putera bangsawan India seperti Sang Sapurba, Sang Maniaka dan Sang Nila Utama, yang menzahirkan keturunan raja-raja dan bangsawan Melayu.
Justeru, beliau menyifatkan golongan mahasiswa penyelidik generasi baharu harus diwujudkan semula lantaran sistem pendidikan negara yang terlalu kekurangan pakar sejarah arkeologi dan budaya.
“Jangan ada prasangka tentang zaman pra Islam. Yang penting ialah keilmuan sejarah dan antropologi selain dari arkeologi untuk negara. Malaysia gersang kajian purba dan warisan bandingan,” katanya.