‘Mana suara pemimpin Pas bila Gerakan bantah Modul Hadis 40 Imam Nawawi?’

‘Mana suara pemimpin Pas bila Gerakan bantah Modul Hadis 40 Imam Nawawi?’

NUR JAZLAN MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed mempersoalkan di mana suara pemimpin Pas selepas sekutu parti itu dalam Perikatan Nasional (PN), Gerakan membantah pelaksanaan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi untuk pelajar Islam. 

Ketua UMNO Bahagian Pulai itu berkata, pemimpin parti itu didakwa dengan pantas mengeluarkan kenyataan bahawa orang bukan Islam tidak wajar membantah pelaksanaan itu selepas MCA menyatakan bantahan. 

“Saya bukan mahu pertaha MCA yang bersama dalam Barisan Nasional (BN) sebab saya pun berpendirian parti itu tidak perlu campur tangan isu modul berkenaan yang tidak ada kaitan dengan pelajar bukan Islam. Cuma saya tidak boleh terima sikap double standard dan perbuatan Pas yang setiap kali tunggang isu agama apabila ada kepentingan politik. 

“Kenapa Pas tidak tarbiahkan sekali pemimpin dalam Gerakan sepertimana yang mereka duduk sembang selama ini mahu menegakkan ajaran Islam kepada parti bukan Islam dalam PN?” soalnya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini. 

Kementerian Pendidikan sebelum ini merancang untuk melaksanakan modul berkenaan di 61 sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) dan 228 sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) seluruh negara. 

Bagaimanapun, media melaporkan, Gerakan membantah pelaksanaan itu kerana menganggap ia melanggar Perlembagaan Persekutuan. 

Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau dilapor berpendapat, langkah kementerian itu bercanggah dengan prinsip negara, selain mengancam keharmonian kepelbagaian budaya dan agama di Malaysia.

Nur Jazlan berkata, Pas akan pantas menghentam UMNO apabila isu tersebut melibatkan UMNO, misalnya berhubung pembatalan kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) dengan Pas dan ketika parti itu bersama dengan DAP dalam kerajaan. 

“Kononnya UMNO tergamak bekerjasama dengan satu parti yang anti Islam dan Melayu. Padahal Gerakan pun apa kurangnya. Kadangkala Gerakan lebih ekstrim dalam beberapa isu babitkan Islam seperti tindakan Gerakan saman Pas Kelantan dalam isu hudud. 

“Gerakan juga lantang membantah dengan pelaksanaan tulisan jawi pada buku-buku teks di semua sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT).

“Tetapi, kenapa Pas boleh pula bersengkokol dengan Gerakan dalam PN yang terang-terang banyak kali menongkah arus babitkan isu Islam? 

“Pas boleh pula tutup sebelah mata dengan Gerakan sebab mereka berkawan. Jadi hukum hakam Islam yang dibawa Pas boleh memilih pihak mana yang betul dan salah? 

“Janganlah bawa kemunafikan politik dalam isu agama semata-mata  untuk kepentingan kuasa dan kedudukan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN