PADANG BESAR: Malaysia tidak mustahil menjadi negara pengeksport beras suatu hari nanti sekiranya semua pihak khususnya pesawah sanggup berubah dan mengusahakan tanaman padi itu secara sepenuh masa.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohd Sabu berkata, sekiranya kawasan tanaman padi di bawah Lembaga Pertanian Muda (MADA) dapat menghasilkan pengeluaran padi sekitar 10 tan per hektar ia dilihat mencukupi bagi mengeksport beras ke luar negara.
Katanya, buat masa ini, kebanyakan tanaman padi di kawasan MADA hanya dapat mengeluarkan hasil sekitar empat ke lima tan bagi satu hektar.
“Disebabkan itu saya sarankan agar petani dapat ubah sikap dan jalankan bidang tanaman ini secara serius atau sebagai sepenuh masa seperti jadual kerja di pejabat.
“Mereka sekurang-kurangnya perlu meluangkan masa sekitar tiga jam bagi kerja-kerja kawalan rumput, baja, racun dan pelbagai lagi,” katanya selepas Lawatan Kerja Ke Projek Tanaman Jagung Bijian di Lembah Chuping, di sini, hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan mengenai Projek Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) Mini Sekinchan yang mampu melonjakkan peningkatan hasil padi ke tahap yang lebih baik dalam mengurangkan kebergantungan kepada import beras.
Pelaksanaan projek itu dijangka dapat membantu dalam keterjaminan makanan negara memandangkan buat masa ini, Malaysia menerima eksport beras dari India, Vietnam, Thailand dan beberapa negara lain sebanyak 35 peratus.
Dalam pada itu, mengulas mengenai jumlah penimbal beras negara ketika ini, Mohamad berkata, Padiberas Nasional Bhd (Bernas) telah memberi jaminan bahawa kadarnya masih mencukupi dan mampu bertahan bagi menampung keperluan rakyat.
“Bernas telah beri jaminan yang jumlah penimbal beras masih boleh bertahan cuma harganya sahaja kadang kala tidak menentu. Namun, beras di Malaysia ini merupakan antara yang termurah di Asean,” katanya.-UTUSAN