PETALING JAYA: Malaysia akan memulakan proses pemindahan teknologi bagi meningkatkan pengeluaran, pemprosesan, pengedaran dan penyediaan makanan bagi memastikan objektif sekuriti makanan negara tercapai.
Bagi memulakan proses tersebut, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) diberi tanggungjawab untuk memacu dan memastikan teknologi berkaitan pertanian dan industri agro-makanan dikembangkan kepada golongan sasaran.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pemindahan teknologi pertanian itu akan memberi manfaat kepada masyarakat jika ia dapat diaplikasikan secara efektif di lapangan.
“Mardi sebagai Institusi Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian telah menaja banyak teknologi berkaitan pertanian dan industri agro-makanan di mana teknologi ini perlu dikembangkan kepada golongan sasar.
“Pendekatan bersepadu oleh ejen-ejen pengembangan dan penjana teknologi perlu diambil bagi memastikan ia berlaku seiring dengan peralihan zaman.
“Jadi, saya berharap Pameran Teknologi dan Inovasi Pertanian (Show-tech MARDI 2023) diharap mampu menjadi aspirasi bagi memastikan kelancaran dan kerancakan aktiviti pemindahan teknologi kepada golongan sasar seterusnya memastikan kelangsungan dan keterjamimam bekalan makanan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptamanya ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Show-tech Mardi 2023 yang bermula hari ini hingga Ahad di Taman Ekspo Agro Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang.
Sementara itu, Ketua Pengarah Mardi, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, pameran bertemakan ‘Peneraju Inovasi Agroteknologi’ itu adalah bertepatan dengan mandat Mardi dalam menjalankan penyelidikan bagi menghasilkan teknologi dan inovasi dalam bidang pertanian.
“Teknologi yang mapan amat penting dalam mengukuhkan agenda keterjaminan makanan negara.
“Justeru, Show-Tech Mardi 2023 adalah platform untuk mempamerkan dan menghebahkan teknologi dan inovasi pertanian hasil penyelidikan Mardi sejak 50 tahun dulu kepada masyarakat dan pemain industri,” katanya.
Show-tech Mardi 2023 memfokuskan enam kluster utama bidang penyelidikan dengan lebih 300 teknologi dan inovasi pertanian dipamerkan iaitu tanaman (hortikultur, tanaman makanan iaitu padi dan tanaman industri), ternakan, teknologi makanan, mekanisasi, pemindahan teknologi dan agro-pelancongan.
Pada majlis sama, Mardi turut melancarkan empat teknologi dan inovasi iaitu teknologi biosensor untuk mengesan pantas penyakit padi; teknologi biosensor untuk mengesan pantas Aflatoksin B1 pada jagung bijian; produk makanan menggunakan teknologi HPP sebagai teknik baharu pengawetan makanan dan pakej teknologi makanan sedia dimakan (Ready-to-eat) menggunakan teknologi retort.
Mardi juga memeterai pertukaran dokumen perjanjian (MoA) bersama dengan sembilan syarikat dan sesi penyerahan teknologi Mardi kepada usahawan seperti penyerahan teknologi HPP dan retort kepada usahawan; penyerahan teknologi Mardi hasil kajian Pusat Penyelidikan Sains dan Teknologi Makanan kepada usahawan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan penyerahan ‘mock up’ dan Sijil Penyertaan Projek Usahawan Pengeluar Bahan Tanaman Varieti Mardi Terpilih.
Mohamad turut melancarkan tiga varieti bawang merah Mardi iaitu BAW-1, BAW-2 dan BAW-3 dan dua naskah buku bertajuk Teknologi Pengeluaran Jagung Bijian dan Merungkai Sistem Penanda Molekul hasil penerbitan Mardi. – UTUSAN