KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia akan menghantar kotak perakam suara kokpit (CVR) pesawat jenis Beechcraft Premier 1 ke Florida, selepas makmal Biro Siasatan Keselamatan Pengangkutan di Singapura gagal mengesktrak rakaman suara di dalam ‘memory puck’ berkenaan.
Kerajaan semalam telah menghantar CVR yang mengandungi data rakaman suara di dalamnya ke makmal di Singapura, untuk mendapatkan rakaman suara 30 minit terakhir dalam kokpit pesawat itu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook bagaimanapun berkata, pihaknya menerima makluman bahawa makmal di Singapura berdepan masalah masalah teknikal sehingga menghalangnya daripada mengeluarkan rakaman suara tersebut.
Katanya, keputusan menghantar peranti berkenaan ke Florida kerana negara itu merupakan pembuat CVR dan kerajaan percaya mereka mampu menganalisis rakaman suara pada pesawat yang terhempas di Elmina, Shah Alam baru-baru ini.
“Pagi tadi saya mendapat laporan daripada ketua biro makmal Singapura yang mereka tidak dapat mengeluarkan rakaman suara. Ada beberapa isu teknikal yang mengekang mereka untuk mengeluarkannya.
“Jadi, ketua Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) akan pulang dari Singapura dan memberi taklimat kepada saya hari ini.
“Kami akan bersiap sedia secepat mungkin untuk terbang ke Florida,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Seminar Keselamatan Penerbangan Malaysia 2023 (MASS 23), di ibu negara, hari ini.
Semalam, Siew Fook mengesahkan bahawa CVR berkenaan hangus terbakar dan Kerajaan Malaysia membawanya ke Singapura dengan harapan dapat mengeluarkan data di dalamnya.
Nahas yang berlaku pada Khamis minggu lalu itu antaranya mengorbankan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun serta tujuh yang lain dalam pesawat serta seorang pemandu dan penunggang e-hailing yang sedang melalui lokasi kejadian.
Pesawat ringan itu berlepas dari Langkawi menuju Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) mendapat kebenaran untuk mendarat jam 2.50 petang, namun terhempas dua minit sebelum mendarat. –UTUSAN