Malaysia buka semula kedutaan di Iraq selepas 20 tahun

Malaysia buka semula kedutaan di Iraq selepas 20 tahun

ZAMBRY Abdul Kadir ketika mengadakan lawatan rasmi ke Iraq pada 23 hingga 25 Ogos lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kedutaan Besar Malaysia di Iraq akan dibuka semula selepas lebih 20 tahun ditutup ekoran pencerobohan Amerika Syarikat (AS) pada Mac 2003.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, perkara itu disampaikan ketika mengadakan lawatan rasmi ke negara itu pada 23 hingga 25 Ogos lalu.

Katanya, lawatan itu adalah bukti kesungguhan Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meningkatkan hubungan dua hala antara Malaysia dan semua negara Islam termasuk Iraq.

“Saya telah menyampaikan keputusan Kabinet Malaysia untuk mengoperasikan semula Kedutaan Besar Malaysia di Baghdad yang telah ditutup sementara sejak dua dekad yang lalu.

“Pengoperasian semula Kedutaan Besar Malaysia di Baghdad pastinya akan membuka lebih banyak peluang kerjasama baharu dalam pelbagai bidang,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, dalam pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Iraq, beliau mengulangi komitmen Malaysia untuk meluaskan kerjasama dengan Iraq dalam pelbagai sektor terutamanya ekonomi, pendidikan, hubungan udara dan pelancongan.

Beliau juga menyatakan kesediaan Malaysia untuk meneroka semua laluan dan peluang yang ada untuk meningkatkan jumlah perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara termasuk meningkatkan eksport perabot, produk farmaseutikal, produk elektrik dan elektronik serta komoditi ke Iraq.

“Dalam bidang pelaburan, kerajaan Iraq telah mengalu-alukan kehadiran syarikat-syarikat dari Malaysia untuk melaksanakan projek-projek infrastruktur bagi pembangunan semula Iraq.

“Saya turut membincangkan tentang status pengoperasian Petronas di Iraq serta peluang yang lebih meluas dalam sektor tenaga yang boleh diterokai oleh Petronas,” katanya.

Justeru, beliau menyifatkan lawatan ini merupakan satu permulaan untuk Malaysia berperanan sebagai negara yang proaktif dalam hubungan antarabangsa terutamanya di Asia Barat.

“Ini juga merupakan misi diplomasi aktif yang diasaskan oleh Perdana Menteri bagi membolehkan Malaysia untuk kembali ke persada antarabangsa dalam menghadapi dan mendepani isu-isu global,” katanya.

Secara keseluruhan, katanya, terdapat tujuh perkara lain yang telah dicapai sepanjang lawatan tersebut antaranya menggalakkan pertukaran lawatan peringkat tinggi antara dua negara secara berterusan dan melaksanakan semula Mesyuarat Suruhanjaya Bersama (JCM) antara Malaysia dan Iraq yang telah tertangguh sejak 2005.

Selain itu, katanya, Malaysia bersedia untuk meneroka peluang untuk meningkatkan jumlah dagangan serta mengambil bahagian dalam projek pembinaan dan pengurusan lapangan terbang, sistem jalan raya serta pengurusan sumber air.

Katanya, ia termasuk melebar luas jaringan hubungan udara yang lebih praktikal dan efisien antara kedua-dua negara bagi mengembangkan sektor pelancongan serta mengalu-alukan hasrat Iraqi Airways memulakan penerbangan berkala ke Malaysia dengan segera.

Tambahnya, Malaysia dan Iraq juga bersetuju meningkatkan kerjasama dalam bidang pendidikan melalui pertukaran tenaga pengajar, penyelidik dan pelajar dalam pelbagai bidang serta berkongsi pengalaman dan kepakaran bagi membantu proses membangunkan semula Iraq.

“Malaysia dan Iraq juga berperanan menangani isu berkaitan Islamofobia secara kolektif dengan negara-negara Islam yang lain.

“Justeru itu, Malaysia, Iraq serta Turkiye akan memainkan peranan lebih penting dalam mendepani isu Islamofobia yang telah dimainkan oleh pihak-pihak tertentu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya