Malaysia-Brunei perkukuh kerjasama pelbagai bidang

Malaysia-Brunei perkukuh kerjasama pelbagai bidang

SULTAN Hasanal BOlkiah dan Anwar Ibrahim menyaksikan pertukaran dokumen antara dua pihak Malaysia dan Brunei. - GAMBAR IHSAN PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia dan Brunei memperkukuhkan kerjasama pelbagai bidang terutama melibatkan sektor ekonomi, perdagangan dan pelancongan antara kedua-dua negara.

Ia bersempena lawatan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah ke Malaysia dengan mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertepatan dengan Perundingan Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei Darussalam (ALC) ke-24 .

Antara perbincangan kedua-dua pemimpin ialah berhubung pembukaan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak (STATO) di Bandar Seri Begawan, Brunei pada akhir tahun ini, bagi memperkukuhkan lagi kerjasama sektor pelancongan antara kedua-dua negara.

Menurut kenyataan bersama, Anwar dan Sultan Hassanal Bolkiah berbangga atas kemajuan dicapai dalam meneruskan kerjasama ekonomi lebih erat di antara Brunei dan Malaysia Timur.

Kedua-dua pemimpin juga mengalu-alukan penjualan Gas Petroleum Cecair kepada Brunei dari 16 Jun hingga 1 Julai lalu sekali gus memperkukuh usaha meningkatkan lagi kerjasama ekonomi antara Brunei dan Sabah serta Sarawak.

“Kedua-dua pemimpin juga memberitahu perlu ada keperluan dalam mengeratkan lagi hubungan antara Brunei dan Sarawak.

“Ini termasuk cadangan memasukkan Brunei dalam pembangunan Lebuhraya Pantai Utara yang dilihat menyumbang kepada manfaat sosio-ekonomi bagi kerajaan, rakyat Brunei dan Malaysia,” kata kenyataan yang dikeluarkan malam tadi.

Selain itu, kedua-dua pemimpin negara turut mengalu-alukan inisiatif eksport Brunei dengan Sabah dan Sarawak bagi makanan diproses, termasuk produk berasaskan daging yang dijadualkan pada tahun ini akan membantu mengukuhkan sekuriti makanan dan bekalan di kedua-dua pihak.

Baginda Sultan Brunei dan Anwar turut berpuas hati dengan kerja Jawatankuasa Pertanian Teknikal Brunei dan Sarawak dalam usaha meneroka peluang dalam kerjasama pertanian.

“Para pemimpin gembira dengan penyelarasan lancar antara kedua-dua pihak dalam eksport dan import produk pertanian sekali gus membuka jalan untuk kerjasama lebih erat dalam pertanian antara Brunei dan Sarawak.

“Pembaharuan Memorandum Persefahaman (MoU) akan dimuktamadkan mengenai kerjasama kesihatan yang ditandatangani pada 2006 dalam meningkatkan keupayaan dan kepakaran profesional kesihatan di dua negara,” katanya.

Dalam pada itu, Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Brunei memeterai perjanjian mengenai pemindahan banduan antarabangsa (ITOP) yang akan memudahkan pemindahan banduan antara Malaysia dan Brunei tanpa menjejaskan keselamatan banduan serta orang ramai.

Kedua-dua pemimpin juga mengesahkan komitmen mereka untuk melaksanakan kerjasama digital termasuk ketersambungan digital, keselamatan siber, perlindungan data peribadi dan teknologi baharu muncul ke arah memuktamadkan MoU dalam Bidang Kerjasama Digital.

Selain itu, kedua-dua pemimpin menggesa memuktamadkan MoU mengenai Kerjasama dalam bidang Pengangkutan yang disasarkan pada tahun ini dalam meningkatkan kerjasama keselamatan pengangkutan, kemampanan, teknologi dan inovasi antara kedua-dua negara.

Kedua-dua pemimpin menyeru Myanmar untuk melaksanakan sepenuhnya Konsensus Lima Perkara (5PC) dan mengulangi pendirian bersatu bahawa 5PC kekal sebagai rujukan utama ASEAN untuk menangani krisis politik di Myanmar.

Pada masa sama, kedua-dua pemimpin menegaskan semula pendirian mereka bahawa Palestin berhak mendapat hak mereka untuk sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.

“Kedua-dua pemimpin juga bersetuju untuk mengadakan Rundingan Pemimpin kali ke-25 tahun hadapan yang akan berlangsung di Brunei,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya