BALIK PULAU: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia akan menjadi sebuah negara hebat di Asia dalam tempoh lima tahun di bawah pentadbiran gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN).
Menurut Perdana Menteri, perkara itu bakal dibuktikan apabila dalam tempoh hanya kira-kira lapan bulan Kerajaan Perpaduan mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), pelbagai kejayaan telah dicapai dan banyak bantuan telah diberikan kepada pelbagai lapisan masyarakat.
“Dalam masa baru lapan bulan (pelbagai kejayaan dan bantuan oleh Kerajaan Perpaduan), bayangkan kalau kita boleh perintah lima tahun.
“Malaysia akan menjadi hebat sebagai sebuah negara Asia,” katanya ketika berucap pada program bertemu penduduk di kedai makan di Sungai Pinang, di sini hari ini.
Selain bertemu rakyat di kawasan Balik Pulau, Anwar turut berkesempatan menunaikan solat Jumaat di Masjid Qaryah Kampung Perlis, di sini.
Menurut Anwar, Kerajaan Perpaduan memerlukan bantuan dan sokongan berterusan rakyat dalam memastikan segala yang dirancang demi kebajikan rakyat dapat diteruskan dan dilaksanakan.
“Bantulah, supaya apa yang kita buat oleh Kerajaan Perpaduan, (Kerajaan) Madani ini, untuk tolong rakyat. Naikkan harga padi, naikkan harga, (naikkan) gaji penjawat, gaji sektor swasta.
“Itu yang kita rancang, Insya-Allah kita akan lakukan. Ada orang kata kita belum buat, yang kata kita belum buat itu, memang mata dia rabun.
“Padi naik tak harga? Naik…RM350 ke RM500. Pasai apa depa tak buat dua tahun sudah? Pasai apa depa tak buat? Pas atau Bersatu, apa depa tak cakap? Kalau ceramah, dia maki kita bodoh, tak kerja, macam-macam, tak apa,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar mengulangi komitmen beliau yang tidak akan membenarkan mana-mana pemimpin di dalam Kerajaan Perpaduan mengamalkan rasuah atau ‘sakau’ wang rakyat.
“Saya tak akan bagi izin kalau ada mana-mana menteri atau pemimpin dalam Kerajaan Perpaduan yang saya tahu (sakau) saya akan terajang dia masuk penjara,” katanya. – UTUSAN