GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang membongkar makmal haram memproses heroin dengan penahanan tiga lelaki warga tempatan termasuk dua beradik dalam dua serbuan di Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan (SPS) dan Taman Sejahtera, Seberang Perai Tengah (SPT), semalam.
Selain berjaya menahan tiga suspek berusia 25 hingga 37 tahun itu, polis turut merampas pelbagai jenis dadah termasuk heroin bernilai kira-kira RM200,000.
Difahamkan, seorang suspek adalah pemilik kedai dobi manakala dua suspek lagi yang merupakan adik beradik adalah pengusaha bengkel lori dan pemandu lori.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, dalam serbuan serentak kira-kira pukul 4.30 petang di taman perumahan di SPS dan SPT itu, polis berjaya membongkar makmal haram memproses dadah jenis heroin di sebuah rumah di Simpang Ampat.
”Di rumah teres dua tingkat yang disewa ini, polis menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dengan aktiviti memproses dan mengedar dadah.
”Selain menangkap suspek di rumah yang dijadikan makmal haram ini, polis turut menahan dua lagi suspek di sebuah rumah keluarga mereka di Taman Sejahtera, SPT.
”Kesemua mereka disyaki terlibat dengan sindiket memproses dan mengedar dadah ini dan polis masih menyiasat sekiranya ada sindiket yang lebih besar berada di belakang mereka,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.
Menurut Kok Chin, menerusi dua serbuan berkenaan, polis menemukan 30 bungkusan dadah jenis heroin seberat 13.5 kilogram bernilai RM184,800; dua kotak berisi 230 batang rokok dadah jenis ‘mushroom’ seberat 244 gram bernilai RM13,800 dan serbuk kafein seberat 4.23 kilogram bernilai RM1,400.
“Selain itu, polis turut merampas peralatan dan perkakasan memproses dadah dan bahan kimia dipercayai untuk menghasilkan dadah.
”Hasil risikan mendapati aktiviti memproses dan mengedar dadah oleh sindiket ini telah bergiat aktif sejak tiga bulan lalu untuk pasaran tempatan,” katanya.
Tambahnya, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ini boleh digunakan oleh seramai 67,730 orang sekiranya terlepas ke pasaran.
”Hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua tangkapan negatif dadah dan semakan mendapati dua suspek mempunyai rekod lampau kesalahan membabitkan jenayah dan dadah.
”Kesemua tangkapan ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, polis turut menyita enam buah kereta mewah antaranya jenis Alphard; BMW; Mitsubshi Triton serta barang kemas dengan jumlah sitaan RM690,680. – UTUSAN