Mahkamah kekal 2 hakim kanan dengar rayuan peguam kanan UK wakili Najib

Mahkamah kekal 2 hakim kanan dengar rayuan peguam kanan UK wakili Najib

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan sebentar tadi mengekalkan dua hakim kanan menganggotai panel pendengaran rayuan Jonathan Laidlaw untuk diterima masuk sebagai peguam bagi mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes melibatkan SRC International Sdn Bhd (SRC).

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Zabariah Mohd. Yusof sebulat suara mengekalkan Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais selepas menolak permohonan peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah untuk menggugurkan kedua-dua hakim berkenaan.

Hakim Zabariah berpuas hati bahawa permohonan Muhammad Shafee tiada merit selepas meneliti penghujahan semua pihak dalam rayuan yang dikemukakan oleh peguam kanan itu yang berpangkalan di United Kingdom (UK).

Mahkamah turut membenarkan permohonan pendakwa raya yang diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Ad Hoc, Datuk V. Sithambaram untuk bertindak selaku pencelah dalam rayuan Jonathan.

Panel itu berpuas hati bahawa peruntukan Seksyen 18 Akta Profesion Undang-Undang (LPA) 1976 tidak menghalang pendakwa raya dan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mengambil bahagian dalam prosiding rayuan.

Pendakwa Raya yang tidak dinamakan sebagai responden dalam rayuan Jonathan telah memfailkan pemohonan sebagai pencelah untuk dimasukkan sebagai responden keempat dalam rayuannya kerana ia merupakan satu pihak dalam prosiding di Mahkamah Tinggi tetapi telah digugurkan secara unilateral dalam rayuan itu.

Terdahulu, Muhammad Shafee memohon kedua-dua hakim berkenaan digugurkan daripada menganggotai panel selepas berpendirian bahawa mereka telah memberi ulasan dengan menyentuh beberapa isu ketika mendengar permohonan semakan Najib.

Bagaimanapun, kedua-dua hakim berkenaan menafikan membuat ulasan demikian dan mempertikaikan nota prosiding yang dicatat oleh peguam-peguam itu.

Hakim Zabariah juga menyatakan, oleh kerana nota itu bukan bersandarkan kepada rakaman transkrip prosiding mahkamah (CRT), maka ia tidak boleh disahkan.

Pada 21 Julai2022, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid menolak permohonan Jonathan untuk diterima masuk sebagai peguambela dan peguamcara di Mahkamah Tinggi Malaya selepas mendapati tidak ada keperluan untuk membawa masuk peguam itu bagi mewakili Najib dalam rayuan akhir berkenaan.

Muhammad Shafee yang mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan berkenaan, mengemukakan alasan Jonathan mempunyai kelayakan dan kepakaran yang tidak boleh didapati dalam kalangan peguambela dan peguamcara di negara ini.

Ia adalah kerana rayuan terakhir kes SRC International membabitkan isu yang serius, kompleks dan novel.

Pada 2020, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib. Rayuan terhadap sabitan dan hukuman beliau telah ditolak Mahkamah Rayuan pada 2021.

Najib, 69, kini menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan, hukuman dan denda terhadapnya pada 23 Ogos 2022. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya