Mahasiswa lega diberi peluang berpolitik - Utusan Malaysia

Mahasiswa lega diberi peluang berpolitik

SITI AISHAH JAINI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Mahasiswa menzahirkan rasa lega dengan pendirian Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak menyekatkan kebebasan pelajar untuk terlibat aktif dalam politik di luar kampus.

Naib Yang Dipertua 1 Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Siti Aisyah Jaini,23, berkata, mahasiswa memiliki hak dan kebebasan untuk terlibat dalam kegiatan politik sesuai dengan agenda KPT yang ke-11 iaitu pembentukan ke arah pemerkasaan mahasiswa meliputi kebebasan dalam kampus mahupun luar kampus.

Katanya, mahasiswa juga adalah sebahagian masyarakat terpenting dan sebagai warganegara yang memiliki hak sama seperti rakyat Malaysia lain untuk menyampaikan pandangan, terlibat dalam proses politik dan mendukung pihak atau isu tertentu tanpa rasa takut atau diskriminasi.

“Keterlibatan mahasiswa dalam perkara ini penting bagi mereka untuk mengembangkan lagi pemahaman tentang isu-isu sosial dan politik yang lebih luas, serta menjadi ejen perubahan positif di dalam masyarakat,” kata pelajar Ijazah Sarjana Muda proses kimia industri itu.

Semalam media melaporlan pelajar IPT tidak disekat untuk terlibat secara aktif dalam politik bagaimanapun tidak dibenarkan membawa masuk politik kepartian ke dalam kampus.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata, KPT memberi kebebasan penuh kepada kumpulan itu untuk berpolitik secara sihat sejak Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dipinda.

Tambah Siti Aisyah, dia yakin melalui kebebasan tersebut, pemerkasaan mahasiswa itu sendiri dapat dilaksanakan dengan baik selain melahirkan pelajar holistik yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi mampu berfikir ke hadapan dalam mencetus pembangunan negara.
 
“Namun, seiring dengan kebebasan tersebut, mahasiswa diharapkan dapat berpolitik dengan sifat tanggungjawab, tanpa mengabaikan tugas dan tanggungjawab mereka sebagai mahasiswa dalam lingkungan akademik serta mengekalkan prinsip moral, menghormati pendapat orang lain dan mengelak daripada melakukan perkara yang boleh menyebabkan konflik atau kekerasan,” katanya.

Bekas Yang Dipertua MPP Unimap, Ahmad Akif Syakirin Mohd Adnan,25, pula berkata, pindaan AUKU 1971 Seksyen 15 (2) (c) sebelum ini telah meluluskan akta yang menghalang mahasiswa terbabit dalam aktiviti politik di kampus.
 

AHMAD AKIF SYAKIRIN MOHD ADNAN

“Ini jelas menunjukkan bahawa mahasiswa bebas berpolitik di dalam mahupun di luar kampus sekali gus memberi lebih banyak ruang dan kebebasan dalam bersuara dan berpolitik.
 
“Merujuk kepada kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi sendiri iaitu pendekatan ini sememangnya perlu supaya mahasiswa pada hari ini lebih matang dalam membuat sesuatu keputusan serta menilai sendiri pemimpin yang mereka mahu.

“Keputusan pihak KPT untuk tidak menyekat mana-mana mahasiswa berpolitik adalah merupakan satu program literasi politik yang secara tidak langsung mahasiswa dapat mempelajari sedikit sebanyak tentang politik Malaysia hari ini,” kata mahasiswa Sarjana (Sains Kejuteraan Sistem Elektrik) itu.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Unimap, Prof. Dr Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah berkata, pihak pengurusan Unimap juga menyambut baik kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi itu namun mengharapkan mahasiswa dapat menggunakan peluang yang diberikan itu dengan bijaksana.
 
“Mahasiswa perlu menggunakan kebebasan ini dengan matang yang saya percaya mampu menyumbang kepada pembangunan negara dan universiti sekiranya keterlibatan tersebut dapat mengikut tatakelola yang jelas sebagai seorang mahasiswa yang bijak pandai,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya