TERPAHAT sejarah yang cukup bermakna setelah hampir 10 tahun tidak mengadakan konsert di tanah Johor darul Takzim, Kumpulan ‘otai’ Sweet Charity akhirnya menoktahkan penantian dan mengubat kerinduan peminat dengan aksi mantap pada Konsert Berita Gempa di Stadium Arena Larkin, Johor Baharu pada 29 Julai lalu.
Konsert Sweet Charity yang berpaksikan slogan ‘Berita Gempa’ merupakan ‘penghormatan’ bermakna bagi meraikan legenda ikon rock tersohor yang cukup popular di rantau ini.
Mengimbau kembali sejarah perjalanan Sweet Charity seawal tahun 1969, kumpulan ini sudah menempa nama dengan dua anggota asal iaitu Ramli Sarip dan Rahman Sarbani sebelum penyertaan Rosli Mohalim dan Ahmad Jaffar pada lewat 70-an sejurus sebelum album pertama mereka diterbitkan.
Sehingga tahun 1985, kumpulan legenda ini berjaya menghasilkan enam rilisan bersama Ramli. sebelum beliau mengambil keputusan menarik diri untuk bergerak secara solo.
Justeru pengunduran ‘Papa Rock’ ini, Rosli Mohalim mengambil tanggungjawab meneruskan perjuangan Sweet Charity dengan menampilkan seorang vokalis wanita, Zaiton, untuk album terakhir berjudul ‘Sweet Charity 88’ yang diterbitkan pada tahun 1988.
Apa yang menarik pada malam konsert tersebut adalah varian crowd yang membanjiri ruang stadium. Peminat yang hadir bukan sahaja daripada kalangan ‘rockers otai’, malah ramai juga yang berusia seawal 20-an sekali gus membuktikan pengaruh muzik yang dibawa Sweet Charity mampu meresapi jiwa anak muda.
Memulakan persembahan pembukaan dengan tiga buah lagu daripada saudara Max iaitu Sri Mersing, Lemak Manis dan Kita Insan Biasa yang disampaikan secara instrumental melalui alunan irama angklung.
Keresahan peminat akhirnya terlerai apabila tepat pukul 9.00 malam, Kumpulan Sweet Charity muncul di pentas dengan ‘mukadimah’ yang cukup memukau melalui paparan visual, penataan bunyi, instrumentasi, visual dan pencahayaan, sekali gus memberikan imej yang cukup sempurna melalui skrin layar gergasi di pentas.
Aksi pemanas badan Sweet Charity dimulakan dengan persembahan pembukaan tiga buah lagu malar segar mereka iaitu, Di Tahun 2000, Pelarian dan Hilang Gelap Terbitlah Terang.
Seakan mengimbangi momentum, Sweet Charity meneruskan tempo persembahan dengan lagu Dekatlah Padaku, Dunia Perlumbaan dan Sejuta Wajah yang sekali gus meledakkan emosi penonton yang rata-ratanya turut menyanyi bersama.
Persembahan mantap yang dipamerkan Datuk Ramli Sarip selaku vokalis, Rahman Sarbani (dram), Rosli Mohalim (gitari), Ahmad Jaafar (keyboard/vokali kedua) serta dibantu tiga sessionist jemputan nyata bertenaga dan tidak mengecewakan sehingga menyebabkan ribuan penonton yang hadir dilihat tidak berganjak untuk menghayati momen indah yang cukup bermakna ketika itu.
Stadium Arena Larkin kembali digegarkan dengan lagu-lagu ‘berhantu’ mereka antaranya, Berita Gempa, Musibah, Bagaikan Bermimpi, Terharu dan Jalan Malam yang dinyanyikan secara duet oleh Ahmad Jaafar dan Rosli Mohalim.
Legenda rock yang mempunyai tujuh album studio sejak 1979 itu turut mendendangkan lagu-lagu hits antaranya, Zakiah, Jangan Tunggu Lama-lama dan Raja Kumbang yang cukup popular di corong-corong radio sehingga kini.
Sebelum meneruskan baki persembahan dengan lagu pujangga yang amat sinonim dengan negeri Johor bertajuk Tanjung Puteri yang pernah dipopularkan oleh penyanyi Othman Hamzah, penyanyi kelahiran Singapura ini lantas mengimbau sejarah lama yang pernah melanda Sweet Charity ketika mengadakan persembahan di negeri tersebut satu ketika dahulu.
“Kami pernah disenarai hitam daripada membuat konsert di negeri Johor ini. Kisahnya semasa bermain dalam satu persembahan di sebuah ‘funfair’ di Taman Pelangi (Johor Bahru), pentas roboh dan mengakibatkan beberapa orang peminat pengsan, namun kami amat bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa yang berlaku.
“Ini disebabkan penonton berpusu-pusu dan berlaku tolak menolak antara satu sama lain. ‘Funfair’ hanya boleh muat sekitar 3,000 orang tetapi pada hari itu yang datang lebih 7,000 orang. Insiden ini menjadi tajuk utama akhbar keesokan hari, katanya.
Momen tersebut menyebabkan hadirin yang berada di situ terpaku. Pastinya tidak menyangka sehingga begitu sekali sambutan yang pernah diterima oleh kumpulan legenda ini.
Bahkan ada beberapa kumpulan ‘peminat otai’ yang dilihat tersenyum sambil menganggukkan kepala seakan mengimbau kembali insiden hitam yang pernah berlaku satu ketika dahulu.
“Hampir setahun setengah Sweet Charity diharamkan membuat persembahan di Johor. Ini cukup memberi kesan kepada anggota kami kerana banyak yang datang dari Johor seperti dari Muar dan Pontian,” katanya sebelum mengalunkan lagu Tanjung Puteri yang dimainkan secara akustik.
Kemuncak malam Konsert Berita Gempa ‘dipanaskan’ lagi dengan barisan lagu Apa Khabar Sayang, Seniman di Rantau, Datang dan Pergi, Batu, Lahirmu Bukan Untuk Dunia, Ribut 10.59 pagi, Kamelia, Teratai dan Penunggu.
Secara keseluruhan sebanyak 25 buah lagu dibawakan untuk persembahan istimewa yang tamat sekitar pukul 12.00 tengah malam itu.
Konsert anjuran Megatix Malaysia dengan kerjasama Tourism Johor dan LampuNeon selaku Promoter boleh diklasifiksaikan sebagai berjaya dan memberi kepuasan kepada penonton yang hadir.
Legenda rock dari Singapura ini bukan sahaja berjaya memukau lebih 4,000 penonton dari seluruh pelusuk tanah air termasuk Singapura dan Brunei, malah konsert tersebut merupakan jelajah seni terbaharu Sweet Charity sebelum mengadakan persembahan di Singapura selepas ini.
Kesimpulannya, Sweet Charity membuktikan kepada peminat, usia bukan penghalang untuk mereka memberikan sebuah persembahan yang mantap dan berkualiti.
Atas faktor itulah juga kumpulan yang berasal dari Singapura ini masih kekal utuh dan relevan. Bak kata pepatah, ‘tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas’.
Terima kasih Datuk Ramli Sarip dan barisan anggotanya. Salute!