KUALA LUMPUR: Pemain dram, Man, menjelaskan kumpulan terbaharunya iaitu M.A.X tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan lamanya, May.
Pemilik nama sebenar Mohamad Saarip Yaakob, 58, berkata, M.A.X adalah berasal daripada perkataan Maximum yang dipendekkan bagi memudahkan sebutan dan pemilihan logo.
“Sebenarnya nama kumpulan ini panjang iaitu Maximum. Kalau nak buat logo, panjang sangat dan jenuh jika orang mahu membacanya.
“Memang ada kumpulan yang menggunakan nama band lama walaupun sudah membentuk ahli baru. Jika mereka mahu buat demikian, silakan.
“Tapi saya selesa untuk buat nama baharu dan tidak bergantung harap kepada nama kumpulan lama,” tambahnya yang mengundurkan diri daripada kumpulan May pada tahun 2021.
Kumpulan M.A.X yang juga dianggotai AG selaku Vokalis dan Oney, Lan Taro serta Deen sebagai gitaris turut menerbitkan sebuah album bernama Anugerah di samping dua single iaitu Redah dan Mahligai.
Namun begitu, menurut Man lagi, kumpulannya tiada masalah jika mahu menyanyikan semula lagu kumpulan May memandangkan kebanyakan lagu kumpulan itu banyak dihasilkan olehnya dan Oney.
“Dalam May, saya dan Oyen turut membuat lagu. Kalau kami mahu nyanyikan semula lagu-lagu itu mungkin tiada masalah.
“Siapa tahu kami rakam semula lagu-lagu itu sekiranya ada peruntukan.
“Album May sebelum ini bukan hak milik individu. Jadi tiada masalah untuk sesiapa sahaja nyanyian lagu itu dan rakam semula,” tambahnya.
Bercerita lanjut tentang album Anugerah, ia masih membawa konsep heavy metal dengan genre rock. Terdapat 12 lagu di dalamnya termasuklah satu lagu saduran bertajuk Hati Muda.
Anugerah dihasilkan sepenuhnya oleh ahli M.A.X bermula dari aspek penggubahan lagu, penulisan lirik, rakaman studio sehingga penghasilan kulit album.