SENI fotomedia kreatif menjadikan rakaman sesuatu peristiwa atau momen lebih merangsang minat seseorang untuk mengetahui lebih lanjut kisah di sebalik gambar. Namun pada era kecerdasan buatan (AI) ini, foto pegun yang dirakam dengan kamera digital memerlukan kapsyen menarik sebagai naratif sebuah gambar yang penuh nilai kemanusiaan sejagat.
Koordinator Bidang Fotomedia Kreatif, Kolej Pengajian Seni Kreatif UiTM Shah Alam, Andrialis Abdul Rahman berkata, sebagai tenaga pengajar bidang fotografi, ia perlu seiring dengan perkembangan teknologi terkini seperti A.I yang kini mengambil banyak peranan manusia masa kini.
“Justeru kita menggalakkan pelajar membuat kajian subjek secara mendalam, sesuatu yang tidak mampu dilakukan teknologi AI berbanding sistem fotografi analog.
“Banyak bidang sedang bergelut agar AI tidak mengambil alih tugas mereka. Oleh itu, kita akan galakkan apa saja aspek yang AI tidak boleh lakukan dalam bidang fotografi,” katanya ketika ditemui di pameran M.A.D Expose yang diadakan selama tiga hari di Plaza Shah Alam, di Seksyen 9, baru-baru ini.
Pameran M.A.D Expose menggabungkan hasil kerja 41 pelajar tahun akhir bidang Fotomedia Kreatif, Kolej Pengajian Seni Kreatif UiTM Puncak Alam yang dinilai sebagai sebahagian pemarkahan kerja kursus itu.
Andrialis berkata, pada pameran itu selain gambar dalam imej pegun dan dalam bentuk video, nilai sastera yang diterap dalam skrip multimedia dan kapsyen gambar turut menjadi fokus sesuatu karya.
“ Dalam pameran ini, kita menghimpunkan pelajar daripada tiga pengkhususan fotografi iaitu seni halus, journalism dan komersial.
“Selain kreatif, kita mahu mereka melakukan kerja ‘multi task’ dengan menghasilkan video yang menarik minat syarikat penyiaran dan pembekal content di dunia maya,” katanya.
Jelasnya lagi, penulisan yang penuh nilai sastera dan elemen metafora serta personafikasi dan lain-lain juga digalakkan bagi menjadikan seni fotografi diminati semua golongan.
Bagi seorang pelajar Foto Journalism yang terlibat dengan pameran itu, Meor Aiman Hussaini Meor Abdul Halem, dia menjadikan aktiviti seni warisan kampung tempat asalnya sebagai subjek untuk diabadikan dalam kerja-kerja kursusnya itu.
“Karya saya memfokus kepada aktiviti seni warisan tampak yang dijalankan turun-temurun di kampung kelahiran ibu saya di Kampung Padang Changkat Bukit Chandan Kuala Kangsar Perak. Selain itu, saya abadikan gambar bangunan yang berusia lebih seabad di bandar tersebut.
“Kuala Kangsar adalah bandar diraja Perak, di sini terdapat bangunan bersejarah sejak zaman penjajah dan mercu tanda seperti istana lama, jam besar yang pernah hampir tenggelam semasa banjir besar hujung tahun 1960-an,”katanya.
Peluang untuk melakukan dua aktiviti dalam satu masa, katanya, tidak akan dilepaskan memandangkan sejak kecil dia dapat melihat bagaimana bangunan lama tetap teguh merentasi masa di bandar kelahiran datuk dan neneknya.
Rakannya, Rohaizat Hamka Maderis, menganggap pengalaman mengambil gambar aktiviti pandai besi di kampung yang yang sama dengan Meor Aiman Hussain adakah sesuatu yang menarik dan sukar dilupakan kerana ia mencabar kreativiti dirinya.
“Saya bertuah dapat bertemu Pandai Besi bernama Pak Mazin yang bukan sahaja berpengalaman dalam kerjanya malahan sudah biasa beraksi di depan kamera dalam pelbagai media sebelum ini,” katanya. – Mingguan Malaysia
M.A.D Expose gabungan seni fotografi, multimedia dan sastera
- Oleh ABDUL RAZAK IDRIS
- 27 Ogos 2023, 4:07 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Selamat hari lahir Kartini
14 Januari 2024, 5:37 pm
Tentang harapan penggiat tulisan khat
14 Januari 2024, 4:01 pm
Tengkujuh di hati Jusuh
7 Januari 2024, 6:07 pm