Luqman letak jawatan Ketua Penerangan Muda - Utusan Malaysia

Luqman letak jawatan Ketua Penerangan Muda

LUQMAN LONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Ketua Penerangan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Luqman Long meletakkan jawatannya itu seperti yang dijanjikan ketika proses kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu, Sabtu lalu.

Luqman yang bertanding untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar berkata, beliau telah mengosongkan jawatan Ketua Penerangan Muda dalam mesyuarat parti yang diadakan di Petaling Jaya, semalam.

“Ini selaras dengan ikrar saya sendiri (untuk meletakkan jawatan sekiranya hilang deposit pada PRN lalu).

“Penerangan Muda adalah biro yang paling rencam dan aktif, telah menguruskan tiga siri pilihan raya serta urus tadbir yang disokong misi raih dana.

“Untuk Muda, cabaran besar baru sahaja bermula dan fokus adalah kepada budaya kerja yang cemerlang, politik baharu yang matang dan mengangkat lebih ramai orang muda untuk memimpin parti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Dalam kempen PRN lalu, Luqman telah berjanji mahu melepaskan semua jawatannya dalam kepimpinan parti itu sekiranya gagal mendapatkan semula deposit calon di kerusi DUN Bandar.

Dalam PRN itu, Luqman hanya memperoleh sebanyak 372 undi, manakala calon Barisan Nasional (BN), Armi Irzan Mohd. memperoleh sebanyak 6,074.

Kedua-dua mereka tewas kepada penyandang kerusi DUN tersebut iaitu Ahmad Shah Mohamed (Pas) yang menang dengan majoriti 2,364 setelah memperolehi 8,438 undi.

Calon yang bertanding akan kehilangan deposit sekiranya gagal memperolehi satu per lapan atau 12.5 peratus undi daripada jumlah keseluruhan undi yang dikira.

DUN Bandar mempunyai seramai 22,057 pengundi berdaftar pada PRN lalu.

Daripada jumlah itu, seramai 14,698 orang adalah pengundi Melayu, Cina (6,951) India (259) dan lain-lain (149). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN