IPOH: Pelbagai cara dilakukan untuk menterjemahkan rasa sayang terhadap negara menjelang sambutan Hari Kebangsaan 2023.
Bagi seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kerian, Rafaa Ahmad Muneer, 16, dia menjadikan platform berpidato untuk menzahirkan rasa cinta terhadap negara termasuk institusi diraja.
Dia adalah pemenang Pertandingan Akhir Pidato kategori Bahasa Melayu Sekolah Menengah Atas anjuran bersama Dewan Negara Perak dan Jabatan Pendidikan Negeri Perak di sini baru-baru ini.
Pertandingan itu adalah sebahagian daripada Program Menyemai Semangat Kesetiaan Kepada Raja dan Negara sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan 2023 melibatkan sekolah-sekolah di Perak.
Menurut Rafaa, pidato boleh dijadikan medan bagi menzahirkan semangat kenegaraan.
Katanya, dalam pertandingan tersebut, dia berjaya menarik perhatian penonton untuk menelusuri makna pidatonya walaupun hanya bercerita tentang ‘Pak Dalang’ dan ‘Uncle Tong’ yang lepak di warung ‘Uncle Muthu’.
“Namun saya mampu menyedarkan betapa kita cinta akan suasana perpaduan dan keamanan yang berjaya diciptakan di negara Malaysia.
“Paling penting untuk menjadi wahana saya mempamerkan rasa penghargaan dan betapa saya sayang terhadap institusi diraja Perak khasnya dan raja Berperlembagaan amnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ditanya mengenai siapakah inspirasi kepada dirinya dalam aktiviti pidato, Rafaa yang bercita-cita menjadi pensyarah berkata, individu tersebut adalah seorang guru sejarah di SMKA Kerian iaitu cikgu Jupri Sanhosi kerana mempunyai rasional yang sangat tinggi terutamanya dalam hal agama.
“Manakala inspirasi dalam pidato saya adalah Tun Dr. Mahathir Mohamad. Beliau walaupun bicaranya seperti seorang tua namun terdapat karisma yang sangat tinggi serta madahnya menikam dada,” katanya.
Sementara itu, seorang daripada guru yang terlibat dalam kejayaan Rafaa, Nor Farhana Farik berkata, kemenangan itu membanggakan sekolah.
Katanya, ini membuktikan murid SMKA bukan sahaja mampu cemerlang dalam akademik dan menghafaz al-Quran, tetapi turut aktif dalam kokurikulum.
“Pencapaian kali ini juga membuktikan tujuan program Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA) yang dijalankan di sekolah bukanlah penghalang kepada kejayaan murid, malah menjadi pemangkin bagi melahirkan golongan teknokrat yang khatam al-Quran kelak,” katanya.-UTUSAN