Lesen memandu secara fizikal belum dihentikan

Lesen memandu secara fizikal belum dihentikan

ANTHONY LOKE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Mana-mana pemandu yang memerlukan lesen memandu secara fizikal masih boleh mendapatkannya di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ini kerana lesen memandu secara fizikal masih lagi dikeluarkan dan boleh dimohon menerusi cawangan JPJ.

”Kita bukan menghentikan pemberian lesen fizikal kerana masih diberikan kepada pemohon. Jadi kalau mereka memandu di luar negara di mana negara itu memerlukan lesen fizikal, mereka boleh mengambil lesen fizikal daripada JPJ semasa mereka memperbaharui lesen memandu masing-masing,” katanya di sini hari ini.

Anthony mengulas mengenai kejadian dua lelaki warga Malaysia yang meluahkan rasa tidak puas hati apabila dikenakan tindakan saman oleh pihak berkuasa Thailand meskipun sudah mempamerkan lesen memandu digital yang dimiliki mereka.

Difahamkan, individu warga Malaysia yang memandu di Thailand tidak memerlukan lesen antarabangsa, sebaliknya hanya perlu memiliki lesen sah JPJ.

Pada Februari lalu, kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan mengumumkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) persendirian diubah kepada mod paparan digital secara berperingkat.

Menurut Loke, sekiranya rakyat Malaysia memandu di luar negara, mereka tertakluk kepada undang-undang tempatan negara berkenaan.

”Kita perkenal lesen digital ini supaya orang ramai yang membawa kenderaan, mereka boleh membawa lesen secara digital, jadi tidak ada penguatkuasaan saman dikenakan dalam negara kita. Tetapi apabila ke luar negara, sudah tentu mereka tertakluk kepada peraturan dan undang-undang di negara tersebut,” katanya.

Tambahnya, semua pihak perlu faham bahawa Kementerian Pengangkutan tidak mempunyai bidang kuasa untuk menentukan cara pelaksanaan berkaitan lesen memandu di negara lain seperti di Thailand.

Dalam pada itu, katanya, urusan pembayaran untuk memperbaharui cukai jalan juga akan dilaksanakan secara digital dan dijalankan secara berperingkat.

”Pembayaran memang dibuat secara online dan ia dilakukan secara berfasa, sekarang kita sedang buat ujian dalam sistem kita di mana melalui aplikasi MYJPJ pun kita boleh buat pembayaran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya