SIBU: Seorang lelaki berusia 46 tahun mati ditembak di kebun milik keluarganya di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata polis dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan pada jam 1.23 pagi oleh penduduk berhampiran.
“Mangsa dikejarkan oleh dua rakan dan keluarganya ke hospital, namun kemudiannya disahkan meninggal dunia pada jam 1.55 pagi tadi,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu hari ini.
Tambahnya Zulkipli, siasatan turut mendapati mangsa bersama dua rakannya yang berusia 46 dan 36 tahun pergi makan di kawasan kebun berkenaan pada jam 9.30 malam semalam.
“Kira-kira jam 11.30 malam, mereka pulang. Bagaimanapun, apabila salah seorang rakan mangsa mengunci pintu pagar di kebun itu, seorang suspek tampil muncul di depannya dan melepaskan beberapa das tembakan.
“Dua rakan mangsa yang lain sempat lari dan bersembunyi. Selepas 30 minit, mereka keluar dari tempat persembunyian dan mendapati mangsa terbaring di atas tanah,” jelasnya.
Zulkipli berkata, pemeriksaan mendapati lapan kesan tembakan di badan mangsa.
Manakala salah seorang rakannya mengalami kecederaan ringan di bahagian muka.
Ditanya sama ada mangsa adalah ketua kumpulan yang dipanggil ‘Lo Han’ yang giat dicari oleh pihak polis, beliau berkata perkara itu masih dalam siasatan.
“Kita masih lagi menyiasat motif dan jenis pistol yang digunakan dalam kejadian tembakan terbabit.
“Justeru itu kita menasihatkan agar orang ramai supaya tidak membuat spekulasi mengenai kes itu,” jelasnya dengan lebih lanjut.
Mangsa dikenali sebagai Pang Neng Hua, berusia 46 tahun.
Polis kini giat menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.- UTUSAN