PETALING JAYA: Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai membuat hantaran berbaur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong, hari ini.
Penahanan lelaki tempatan berusia 43 tahun itu dilakukan di Bera, Pahang.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd. Zain berkata, lelaki itu disyaki pemilik atau pengendali akaun Facebook @sambanjar perak yang memuat naik hantaran yang cenderung menghasut.
“Hantaran itu juga dilihat boleh mendatangkan penghinaan dan membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong.
“Permohonan reman terhadap suspek dilakukan di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dan dibenarkan selama empat hari mulai hari ini hingga 18 Ogos nanti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes itu disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bahagian D5 JSJ Bukit Aman mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Orang ramai digesa supaya menjadi pengguna media sosial yang bijak dan berhemah.
“Elakkan mengeluarkan kenyataan yang boleh menggugat keharmonian dan perpaduan terutama membabitkan isu 3R iaitu agama, raja dan kaum,” jelasnya. -UTUSAN