PEKAN: Anggaran lebih RM50 juta diperlukan untuk memulihkan Tasik Chini dan menjadikan lokasi itu kembali ‘bernyawa’ selepas ‘mati’ disebabkan kemusnahan ekosistem alam semula jadi di situ.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, sumber berkata, berapa pun kos diperlukan, tasik kedua terbesar negara itu perlu dipulihkan selepas Tasik Chini mengekalkan status Tapak Rizab Biosfera di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
“Kejayaan mengekalkan Tasik Chini sebagai tapak UNESCO Rizab Biosfera untuk selama 10 tahun lagi perlu dimanfaatkan sepenuhnya dengan melaksanakan pemulihan dan pemuliharaan di tasik itu.
“Tempoh masa 10 tahun itu tidak lama, jadi proses pemulihan perlu segera dilaksanakan supaya kelestarian di tapak UNESCO ini dapat dicapai dan memenuhi syarat ditetapkan,” katanya di sini semalam.
Pada 14 Jun lalu, Tasik Chini berjaya mengekalkan status Tapak Rizab Biosfera di bawah UNESCO yang diperoleh pada 2009.
Ia diputuskan dalam mesyuarat Majlis Penyelarasan Antarabangsa ‘Man and the Biosphere Programme’ (ICC MAB35) kali ke-35 di Paris.
Suatu ketika dahulu Tasik Chini merupakan lokasi cukup tenang dan damai yang menjadi habitat 138 spesies flora serta 300 spesies hidupan bukan akuatik.
Tasik Chini juga pernah merekodkan 144 spesies ikan air tawar hidup dalam tasik berkenaan.
Namun ketenangan itu ‘hilang’ ekoran kerakusan manusia hingga menyebabkan ia musnah dan terus dibiarkan tidak terurus sehingga kini tanpa usaha pemulihan konkrit.
Sementara itu Tokoh Budaya dan Kesenian Pahang, Prof. Datuk Dr. Aripin Said berkata, Tasik Chini memerlukan dana yang tinggi untuk memulihkan kembali tasik semula jadi itu seperti dahulu kala.
“Tasik Chini perlu dipulihkan kerana ia merupakan warisan negara dan negeri ini yang perlu dipertahan dan dikekalkan kelestariannya.
“Biarlah berapa sahaja belanjanya, pulihkan Tasik Chini kerana menjadi tugas kita terutama kerajaan untuk memelihara, mengumpul dan melestarikan warisan. Bila sudah hancur dan hilang kita ada duit berjuta-juta pun, warisan kita tidak dapat dikembalikan lagi,” katanya.
Beliau dalam pada itu meminta kerajaan supaya turut memberikan nafas baharu terhadap sektor ekopelancongan Tasik Bera supaya nasibnya tidak seperti Tasik Chini. – UTUSAN