Lebih 100 Jalur Gemilang dikibar di halaman rumah - Utusan Malaysia

Lebih 100 Jalur Gemilang dikibar di halaman rumah

SEDEK Hussain menghiasi halaman rumahnya dengan Jalur Gemilang di Kampung Nibong, Hulu Terengganu. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Seorang tukang kasut di Kampung Nibong dekat sini menghiasi halaman rumahnya dengan lebih 100 Jalur Gemilang bagi menzahirkan rasa patriotik sempena sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini.

Sedek Hussain, 63, atau lebih dikenali sebagai Pok Zam berkata, dia berhabis ratusan ringgit setiap tahun bagi membeli Jalur Gemilang untuk dikibarkan di rumahnya sejak 14 tahun lalu.

Menurutnya, inisiatif dilakukannya itu menunjukkan kecintaannya kepada negara dan diharap dapat memberi teladan kepada generasi muda agar menghargai kemerdekaan dan keamanan telah dikecapi.

“Sempena Bulan Kemerdekaan tahun ini saya belanjakan hampir RM200 untuk beli bendera Malaysia pelbagai saiz sejak hampir sebulan lalu.

“Berbanding tahun-tahun lepas, Jalur Gemilang dipasang kali ini paling banyak jumlah­nya kerana selain beli baharu ada juga bendera yang masih elok dan dapat digunakan semula.

“Apabila terjumpa bendera yang dibuang di tepi jalan juga ada ketikanya saya akan kutip untuk dibawa balik dan di­bersihkan sebelum dikibarkan sepanjang Bulan Kemerdekaan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Nibong di sini semalam.

Tambah datuk kepada lapan cucu itu, biasanya selepas tamat sambutan Hari Malaysia pada 16 September, dia akan menyimpan Jalur Gemilang namun sekurang-kurangnya sehelai bendera akan dipastikan terus berkibar.

Katanya, semangat patriotik­nya itu turut menarik perhatian serta menjadi tumpuan pengguna jalan raya yang tidak lepaskan peluang merakam gambar kenangan.

Sedek yang mempunyai lapan anak berkata, rakyat Malaysia tidak seharusnya melepaskan peluang mengibarkan bendera sebagai tanda kecintaan kepada tanah air dan perlu memastikan semangat patriotisme sentiasa subur dalam jiwa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya