Larangan jual telur penyu beri kesan positif  - Utusan Malaysia

Larangan jual telur penyu beri kesan positif 

PENJUALAN telur penyu telah diharamkan di Terengganu untuk mengelakkan kepupusan hidupan marin itu sejak 1 Jun 2022 lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Larangan penjualan telur penyu di negeri ini sejak lebih setahun yang lalu memberi kesan positif dari sudut kesedaran masyarakat terhadap pemulihan haiwan marin tersebut di negeri ini.

Menurut Pengarah Jabatan Perikanan (DOF) Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat, dapatan itu diperolehi hasil tinjauan dan pemeriksaan berterusan berkaitan urus niaga makanan eksotik berkenaan.

Beliau berkata,pemantauan penjualan telur penyu itu turut melibatkan di negeri-negeri lain seperti Kelantan dan Pahang bagi memastikan ekosistem haiwan terancam itu dapat dipulihara, seterusnya meningkatkan lagi populasi penyu di negeri ini.

“Sejak larangan ini dikuatkuasakan, DOF sentiasa memastikan ianya dipatuhi dan tidak dinafikan ada satu atau dua kes namun ianya terpencil membabitkan penjualan di kedai makan.

“Selain itu kami juga periksa di negeri lain walaupun boleh dijual di sana kerana DOF mahu memastikan sumber telur penyu itu sama ada dari Terengganu atau sebaliknya.

“Secara keseluruhan boleh dilihat penguatkuasaan larangan penjualan telur penyu berjaya meningkatkan tahap kesedaran masyarakat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Pengharaman berkenaan bermula sejak 1 Jun tahun lalu selepas kerajaan negeri meluluskan Enakmen Penyu 1951 (Pindaan 2021) bagi mengelakkan kepupusan hidupan marin itu

Pindaan itu antara lain memperuntukkan hukuman denda bagi kesalahan kacau ganggu dan membunuh penyu RM50,000 hingga RM250,000 atau penjara tidak kurang setahun atau kedua-duanya.

Telur penyu sebelum ini mendapat permintaan tinggi daripada pelancong dengan peniaga mampu menjual dengan harga antara RM4 hingga RM10 sebiji bagi telur penyu Terengganu.

Tambah Ruzaidi, DOF giat meneruskan usaha konservasi penyu dan tuntung laut selain program melepaskan anak penyu bagi memulihara spesies berkenaan di Terengganu.

“Kita juga bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk universiti tempatan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang turut aktif berusaha meningkatkan kesedaran kepentingan telur penyu.

“Kesannya kita tidak nampak sekarang sebaliknya 15 atau 20 tahun lagi mungkin seekor daripada 1,000 anak-anak penyu yang dilepaskan ke laut akan kembali untuk bertelur,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya