MENDENGAR jawapan-jawapan Loque terhadap soalan-soalan tentang lagu saduran terbaharunya membawa saya merentas masa ke 2011 semasa album P. Ramlee: Satu Indiepretasi diterbitkan.
Saya juga singgah ke tahun hadapannya, 2012, ketika saya duduk melanguk depan TV menonton Hujan, Go Gerila! dan Black & Parallax bertanding dalam Versus musim pertama.
Kemudian lanjut setahun lagi, menonton Manifesto, Kyoto Protocol dan Oh Chentaku dalam Versus musim kedua. (Ya, saya tahu ada kugiran lain lagi dalam Versus tapi perhatian saya lebih pada enam kugiran itu)
Saya jadi sedar bahawa sejak dahulu, saya selalu tertarik dengan lagu-lagu saduran.
MEMALARKAN KESEGARAN
Tapi minat saya bukan pada lagu saduran biasa-biasa. Sadurannya perlulah ada suntikan identiti penyanyi baharu, dilakur bersama semangat lagu asal. Paling kurang pun, buat macam Kristal waktu mereka bikin beralbum-album lagu saduran dulu.
Saya sendiri pernah menulis dua artikel tentang lagu saduran: Chendering oleh Bihzhu dan Legenda oleh Monoloque dan Kimal. Tajuk artikel Bihzhu menjadi pegangan saya dalam menilai lagu saduran, iaitu memalarkan kesegaran.
Fungsi lagu saduran adalah memalarkan kesegaran. Sebab kesegaran lagu tak boleh bertahan lama, ada tarikh luputnya.
Satu-satu lagu disusun segala instrumentasinya, gimik-gimiknya untuk zaman ia diterbitkan. Susunan itu akan luput ditelan masa. Yang kekal relevan hanya melodinya, jika melodi itu cukup baik untuk mengharung cabaran zaman.
Sebab itu untuk menyadur, perlulah tampil dengan susunan baharu, gimik baharu. Kalau setakat ubah penyanyi atau pemuzik tapi susunannya masih lebih kurang sama, mood masih sama – tak ada guna.
Macam yang dilakukan beberapa penyanyi popular seperti Amir Masdi dan Afieq Shazwan, saya fikir, simpan untuk persembahan tribute di acara anugerah sahajalah.
TUBUH SAMA, PAKAIAN BAHARU
Loque suka guna analogi baju apabila bercakap tentang lagu saduran. Apabila semua elemen lain dicabut, yang tinggal hanya melodi, ia seperti menanggalkan pakaian tetapi mengekalkan tubuh, yang ditukar hanya pakaiannya.
Ia jadi ironi apabila ada sebilangan penyanyi membuat saduran lagu rock zaman glam dan dalam video muzik, mereka menggayakan pakaian rock glam.
Saya lihat ada dua kugiran yang banyak melakukan saduran dengan rajin, kreatif dan bermaruah, iaitu Monoloque dan motherwit.
Monoloque setakat ini sudah ada tujuh lagu saduran yang diterbitkan, motherwit ada dua yang ditampilkan dengan video muzik.
Apa yang dilakukan Monoloque dan motherwit, mereka memberi perasa baharu kepada lagu lama. Dengan perasa baharu, ada mesej-mesej segar yang timbul, ada kefahaman berbeza yang terapung.
Seperti yang dilakukan motherwit dalam saduran Kasih Kekasih nyanyian asal Inteam, mereka menimbulkan sisi nakal pada lagu itu, walaupun naskhah asalnya bergenre nasyid.
Lagu nasyid bertema cinta sebenarnya terlahir dari kenakalan yang terpendam. Ia normal kerana akhirnya, akan ada pesan-pesan agama yang melarang nakal-nakal dosa. motherwit memilih untuk menyerlahkan sisi nakal terpendam itu.
Tak lengkap kalau saya tak kredit radio Zayan apabila bercerita tentang Kasih Kekasih versi motherwit. Rancangan Indie X Zayan yang memungkinkannya. Kerana rancangan itu juga, kita dapat menikmati Intifada yang lebih perang, lebih serang, lebih tentang dan lebih berontak dalam versi Pasca Sini; satu lagi saduran yang berjaya, berani dan bermaruah.
Begitu juga dalam saduran Memburu Rindu nyanyian asal Hattan. motherwit memilih untuk menyuntik unsur kacau-bilau dan tidak tentu pada gubahan asal yang lebih syahdu dan keras mendayu.
MEKARKAN YANG LAYU
Monoloque lebih prolifik dalam menyarungkan baju baharu pada lagu lama. Proses saduran oleh Monoloque perlu dihadiahkan tabik kerana ia intensif dan bersungguh-sungguh.
Proses menggubah Mengapa Dikenang Mengapa Difikir, menurut Loque, bermula pada 2018. Lima tahun!
Kegigihan Monoloque memberikan warna baharu kepada lagu itu buat kita percaya, apabila Loque kata setiap lagu yang disadur merupakan penghormatan tertinggi kepada pengkarya asalnya, dia betul-betul memaksudkannya.
Saya fikir Loque ada sedikit terpengaruh dengan budaya sampel dalam hip hop yang asasnya ialah menggali. Kerja-kerja saduran yang dilakukannya bukan sekadar untuk menunggang trend atau populariti lagu asal. Malah, beberapa lagu yang disadurnya tidak popular.
Saya sendiri mula tahu Ibnor Riza ada lagu bertajuk Sudah Terluka Merindu Pula selepas mendengar saduran Loque. Apatah lagi lagu yang sangat asing di telinga generasi baharu seperti Mawar Putih Tanda Perpisahan (nyanyian asal Jamilul Hayat).
Saya suka saduran yang menjungkirbalikkan makna lagu dan saya harap ia dilakukan lebih banyak kugiran selepas ini. Kerana proses mengenal lagu, memecahkan binaannya untuk diteliti dan menyusun semula binaan baharu yang sesuai boleh jadi pembelajaran yang besar untuk kugiran.
Saduran yang kreatif mampu memanjangkan hayat karya, itu saya percaya. Lebih banyak karya tempatan yang dipanjangkan hayatnya, lebih besar kesannya kepada penghargaan muzik tempatan, itu saya harapkan.