PASIR PUTEH: Penuntut Program Agroindustri Tanaman di Kolej Vokasional (KV) Pasir Puteh di sini berjaya menghasilkan buah melon emas atau golden melon gred A menggunakan sistem fertigasi dalam rumah hijau.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarahnya, Mat Ali Ismail berkata, kaedah tersebut bukan sahaja mengeluarkan hasil yang berkualiti malah buah itu lebih manis.
“Kita yakin dan percaya jika 30 penuntut yang mengusahakan tanaman ini mengikut segala langkah-langkah dengan betul, mereka mampu menjadi petani berjaya selepas menamatkan pengajian peringkat diploma nanti.
“Selain tanaman melon, penuntut turut didedahkan dengan ilmu ruminan dalam penternakan lembu, kambing dan ayam yang merupakan salah satu pertanian komersial yang mampu menjana pendapatan lumayan jika diusahakan sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Sementara itu ketua projek berkenaan, Muhammad Haikal Ikmal Mohd. Hairi, 18, berkata, penanaman melon emas itu mengambil masa selama 65 hari sebelum hasil dapat dituai.
Katanya, harga pasaran buah itu boleh mencecah antara RM12 hingga RM15 sekilogram dengan brik kemanisan yang tinggi serta rangup berbanding melon jenis biasa.
“Ia berpotensi dipasarkan ke hotel-hotel serta pasar awam kerana terdapat ramai penggemar pentingkan aroma dan keunikan rasa buahnya yang tersendiri.
“Di kolej ini kami hanya menanam 420 pokok dalam tiga rumah hijau dan kalis serangga. Setiap pokok menghasilkan sebiji buah dengan matang berat 1.5 kilogram. Diusahakan secara organik tanpa penggunaan racun dan bahan kimia,” katanya. – UTUSAN